HomeSukanApa Keperluan Bangkitkan Isu Pemain Warisan di Meja Bulat?

Apa Keperluan Bangkitkan Isu Pemain Warisan di Meja Bulat?

Bekas pemain kebangsaan, Dato’ Zainal Abidin Hassan nyata kurang senang apabila isu mengenai pemain warisan palsu dibawa sehingga ke perbincangan meja bulat yang dianjurkan Malaysian Football League (MFL) pada minggu lalu.

Beliau melihat tiada keperluan untuk perkara tersebut diperdebatkan di pentas yang disediakan MFL untuk wakil-wakil kelab mengemukakan cadangan dan mencari solusi kepada beberapa isu kritikal termasuk kewangan yang dihadapi kelab Liga Malaysia.

“Menimbulkan isu pemain warisan (palsu) atau naturalisasi sebagai masalah utama adalah mengelirukan. AFC serta AFF kedua-duanya sudah menerima status pemain itu dalam pertandingan kelab.

“Kerakyatan mereka pula berkaitan proses rasmi kerajaan melalui Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), bukan isu bola sepak yang perlu dipolemikkan sehingga mengalih fokus daripada masalah sebenar yang mahu dibincangkan di meja bulat. Pada akhirnya membuang masa dengan perdebatan yang sia-sia dan tidak berfaedah,” kata Zainal yang juga bekas Exco FAM.

Untuk rekod, isu mengenai pemain warisan ‘palsu’ pada pertemuan meja bulat itu timbul setelah CEO Selangor, Dr Johan Kamal Hamidon bertanya kepada MFL tentang status pemain-pemain yang digantung itu apabila penggantungan mereka tamat.

Soalannya ialah adakah mereka akan bermain sebagai pemain import atau tempatan. Menurutnya memandangkan telah disahkan mereka tiada darah Malaysia, mereka kena bermain sebagai import di Liga Malaysia dan menunggu lima tahun sepertimana pemain naturalisasi untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan, mengikut peraturan FIFA.

Bagaimanapun wakil JDT pula tampil dengan hujah tersendiri, berkata mereka mempunyai kad pengenalan Malaysia yang sah malah MFL juga telah meluluskan pendaftaran sebagai pemain tempatan, jadi ia tidak sepatutnya menjadi satu isu untuk bermain sebagai pemain tempatan.

Mungkin itulah yang dimaksudkan Zainal sebagai perdebatan yang sia-sia dan tidak berfaedah. Dia juga menganggap cadangan-cadangan di meja bulat semuanya bersifat ‘kitar semula’ dan sudah banyak kali dibentangkan tanpa ada tindakan.

“Isu-isu seperti penubuhan badan pengadil bebas, perbincangan membawa kes ke CAS serta cadangan perwakilan kelab dalam Lembaga Pengarah MFL bukanlah perkara asing.

“Tanpa garis masa pelaksanaan yang jelas, cadangan-cadangan ini hanya akan menjadi ‘idea sumbang’ yang tidak memberi nilai tambah kepada integriti atau daya saing liga kita,” ujarnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular