Penyerang dari Brazil, Chrigor Moraes menjaringkan dua gol pada Rabu untuk membawa Selangor mara ke final Kejuaraan Kelab Asean selepas menewaskan wakil Vietnam, Nam Dinh, 2-0.
Selepas memenangi aksi separuh akhir pertama 2-1 di Petaling Jaya minggu lalu hasil dua jaringan Moraes, Red Giants mengesahkan tempat ke final dengan kemenangan agregat 4-1 di Stadium Thien Truong.
Moraes sekali lagi muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-40 sebelum menambah gol kedua menerusi penyudah kemas dalam kotak penalti pada minit ke-90.
Anak buah Kim Pan Gon memulakan perlawanan dengan berhati-hati ketika tuan rumah tampil agresif, diketuai penyerang naturalisasi kelahiran Brazil, Nguyen Xuan Son.
Namun, penjaga gol Selangor, Sikh Izhan Nazrel Sikh Azman bersama barisan pertahanan bertahan cemerlang untuk mengekang asakan awal lawan dan memastikan kemenangan.
Kejayaan itu menjadi pencapaian besar buat Selangor, antara kelab paling berjaya di Malaysia, yang kali terakhir menikmati kejayaan utama apabila menjulang Piala Malaysia ke-33 pada tahun 2015.
Selangor kini berpeluang menamatkan penantian panjang untuk menjulang trofi di pentas serantau apabila beraksi di final nanti. Skuad Kim Pan-gon akan menentang Buriram United yang mara ke final setelah menyingkirkan juara Liga Super 12 kali, JDT dengan agregat 4-3 dalam satu lagi aksi separuh akhir.
Untuk rekod, di pentas Asia, pencapaian terbaik Selangor adalah mara ke final Kejohanan Kelab Juara Asia 1967, yang kini dikenali sebagai Liga Juara-Juara Asia Elite.
Ketika itu masih dikenali sebagai Selangor FA, mereka menjadi pasukan Malaysia pertama yang layak dan beraksi dalam pertandingan kelab benua Asia.
Dalam edisi sulung tersebut, Selangor mara ke final sebelum muncul naib juara selepas tewas 1-2 kepada Hapoel Tel Aviv di Bangkok.
Sehingga hari ini, Selangor kekal sebagai satu-satunya kelab Malaysia yang pernah mara ke final pertandingan kelab divisyen tertinggi Asia.



