HomeSukan"Ada Cara Untuk Tahu Pengadil Berat Sebelah Atau Tak" - Subkhiddin

“Ada Cara Untuk Tahu Pengadil Berat Sebelah Atau Tak” – Subkhiddin

Bekas Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Subkhiddin Salleh, mendedahkan ianya mudah untuk mengenalpasti jika seseorang pengadil itu berat sebelah atau tidak ketika mengadili satu-satu perlawanan.

Ketelusan dan kualiti pengadil Liga Malaysia sentiasa menjadi bualan penyokong mahupun rungutan dalam pasukan bertanding sejak beberapa tahun kebelakangan.

Bagi Subkhiddin, mereka yang berpengalaman dalam bidang pengadilan ada cara untuk membezakan jika ada kesilapan pengadilan berlaku, ia adalah kesilapan manusiawi yang jujur ataupun sememangnya dipengaruhi.

“Jika seseorang pengadil mempunyai sikap berat sebelah, atau sikap untuk melindungi sesuatu pasukan, kami sebagai pakar atau orang yang berpengalaman dalam bidang pengadilan, pasti dapat mengesan titik yang tidak sepatutnya dilakukan pengadil dalam perlawanan tersebut.

“Amat mudah untuk kita lihat sama ada pengadil itu benar-benar mengadili perlawanan berdasarkan ilmu pengadilan ataupun sudah dipengaruhi,” katanya dipetik dari laporan Nadi Arena.

Justeru, Subkhiddin mengingatkan semua pengadil agar sentiasa bersikap berkecuali dan hanya terlibat dengan proses untuk mengadili perlawanan.

“Dia perlu keluarkan senarai pasukan atau pemain daripada kepalanya. Apabila masuk ke dalam padang, dia hanya perlu tahu warna kedua-dua pasukan supaya tidak berat sebelah.

“Apabila mengadili sesuatu perlawanan, dia perlu memikirkan mengenai kesan dan tanggungjawab terhadap setiap keputusan yang dilakukan,” tambahnya.

Untuk tahun ini, beberapa keputusan pengadil hangat diperkatakan, termasuk dalam perlawanan penting membabitkan pasukan Selangor yang sedang bersaing sengit dengan Kuching City untuk merebut kedudukan naib juara Liga Super, sehingga menimbulkan tanggapan ada agenda untuk menjatuhkan mereka.

Antaranya adalah kekasaran minit akhir penjaga gol Kuching City, Haziq Nadzli ke atas Jose Rodriguez yang tidak diendahkan pengadil, Nazmi Nasarudin pada Februari lalu. Malah dia juga tidak merujuk kepada VAR mengenai insiden itu. Red Giants bagaimanapun bernasib baik untuk menang perlawanan itu 1-0.

Subkhiddin sendiri ada membuat kenyataan mengenai insiden tersebut, yang menurutnya Haziq sepatutnya dilayangkan kad merah.

Selain itu, pengadil Faizal Talib pula menamatkan perlawanan 15 saat lebih awal di masa tambahan dalam situasi Selangor sedang menyerang ketika menentang Sabah pada April.

RELATED ARTICLES

Most Popular