HomeSukanGuna Pengadil Luar Boleh Rosakkan Reputasi Pengadil Tempatan

Guna Pengadil Luar Boleh Rosakkan Reputasi Pengadil Tempatan

Jangan jadikan penggunaan pengadil luar negara untuk mengadili perlawanan domestik, lebih-lebih lagi perlawanan besar sebagai satu kebiasaan.

Demikian teguran bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh yang berpendapat langkah itu boleh memberi kesan jangka panjang kepada pembangunan pengadil tempatan dalam masa sama merosakkan reputasi mereka terutama di pentas antarabangsa.

Dipetik daripada laporan BH Sukan, Subkhiddin berkata: “Pengadil kita sebenarnya ada kualiti dan mereka sedang meningkat, tetapi mereka perlukan kepercayaan untuk diberi peluang mengadili perlawanan besar seperti final Piala Malaysia. Kalau ruang itu ditutup, kita sebenarnya sedang menutup laluan mereka untuk berkembang.

“Lebih membimbangkan, kita seolah-olah mula melupakan terus peluang untuk pengadil Malaysia ‘beraksi’ di pentas Piala Dunia satu hari nanti. Ini kerana jalan ke peringkat tertinggi bermula di pentas domestik.

“Kalau final pun kita tidak percaya kepada pengadil sendiri, bagaimana mereka mahu sampai ke tahap dunia? Apabila mereka diketepikan di pentas terbesar negara sendiri, ia boleh buat mereka hilang keyakinan.

“Lama-kelamaan, mereka mungkin tidak lagi dilihat sebagai pengadil yang boleh dipercayai. Pengadil kita akan buat silap, itu normal. Namun mereka belajar dan berkembang melalui pengalaman di perlawanan besar.”

Kenyataan Subkhiddin hadir selepas Malaysian Football League mengumumkan akan menggunakan khidmat pengadil luar negara bagi mengadili perlawanan akhir Piala Malaysia antara JDT dan Kuching City, di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei depan.

Presiden Liga Bolasepak Malaysia (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, memaklumkan langkah untuk menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini diambil bagi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air.

Baca Juga: Mudah Untuk Kenalpasti Pengadil Jujur Ataupun Tidak

Pengumuman itu disambut baik penyokong bolasepak tanah air, malah ketua jurulatih Kuching City sendiri mengakui ia keputusan tepat dibuat oleh badan pengelola itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular