HomeSukan"Jangan Buat Kenyataan Memalukan" - Presiden MFL

“Jangan Buat Kenyataan Memalukan” – Presiden MFL

Presiden Malaysian Football League (MFL), Datuk Ab Ghani Hassan, memberi peringatan tegas kepada semua kelab agar tidak mudah membuat kenyataan terbuka yang boleh memalukan dan memberi kesan negatif kepada badan itu.

Memetik laporan Arena Metro, Ab Ghani berkata tindakan membawa isu dalaman ke ruang terbuka mampu menjejaskan nilai komersial liga, keyakinan penaja dan reputasi bola sepak tempatan secara keseluruhan.

“Kita ini ibarat satu keluarga, ibarat telur sesarang, ‘pecah sebiji, pecah semua’. Jika satu pihak terkesan, yang lain juga akan menerima tempiasnya.

“Tidak semua perkara perlu dibawa ke pengetahuan umum atau dibuat kenyataan secara terbuka kepada media kerana ia boleh memberi persepsi negatif bukan sahaja kepada MFL, tetapi juga kepada Liga Malaysia secara keseluruhannya.

“Ia boleh menjejaskan kepercayaan penaja, memberi kesan kepada nilai komersial liga dan akhirnya memberi impak kepada kelab-kelab sendiri,” katanya.

Tegasnya lagi, setiap keputusan yang dibuat MFL tidak pernah membelakangi kepentingan kelab, malah kebanyakan perubahan besar liga sebelum ini dipersetujui secara bersama.

“Jika kita imbau kembali, pengstrukturan liga adalah keputusan kita bersama. Pembubaran Piala MFL sebelum ini adalah atas permintaan kelab sendiri kerana faktor kos.

“Begitu juga dengan keputusan Ahli Lembaga Pengarah. Wakil-wakil yang berada di dalam lembaga juga adalah pilihan kelab sendiri untuk membawa suara dan pandangan masing-masing,” tambahnya.

Menurut Ab Ghani, MFL sentiasa berusaha meningkatkan nilai komersial liga termasuk menjalin kerjasama strategik bersama Konami menerusi platform eFootball yang memiliki hampir satu bilion pengguna di seluruh dunia.

Kerjasama itu membuka peluang besar untuk mempromosikan kelab-kelab Liga Malaysia ke peringkat antarabangsa.

“Namun, sekiranya persepsi negatif terhadap Liga Malaysia terus berlarutan, usaha ini akan menjadi lebih sukar. Penaja akan berfikir dua kali dan peluang untuk meningkatkan nilai kelab juga akan terjejas,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular