HomeSukan"Bangkit Daripada Kena 3-0 di JDT Perlukan Keberanian Luar Biasa"

“Bangkit Daripada Kena 3-0 di JDT Perlukan Keberanian Luar Biasa”

Pahang Rangers menterjemah kebangkitan menakjubkan di Stadium Bandaraya Pasir Gudang apabila mengikat juara bertahan Johor Darul Takzim 3-3 dalam aksi Malaysian Premier Futsal League 2026.

Tamat separuh masa pertama, ia ibarat sudahpun Game Over untuk Pahang Rangers kendalian Eloy Alonso Fraile – apatah lagi belum pernah dalam sejarah JDT seri atau tewas selepas mendahului dengan begitu selesa.

Gol sendiri jaringan Syarifuddin Md Akhir (m-5), Bruno Taffy (m-15) dan kapten Firdaus Ambiah (m-17) memberikan kelebihan 3-0 buat skuad kendalian Joao Alves de Almeida tatkala Pahang Rangers hanya sesekali mengancam menerusi Rodriguinho dan Felipe de Souza.

Begitupun skrip berubah sepenuhnya di babak kedua, apabila Pahang Rangers tampil energetik dan lebih garang, melakukan serangan bertali arus dan memaksa JDT bermain dengan lebih berhati-hati.

Deretan peluang tercipta, digagalkan Zainulzahin Sinuan – penjaga gol JDT yang merupakan produk Pahang Rangers – sehinggalah akhirnya dia tertewas pada minit ke-28 menerusi percubaan Rodriguinho.

Gol itu menjadi permulaan kepada sebuah comeback sensasi, apabila beberapa saat kemudian Daniel Dain tertampan bola ke gawang sendiri untuk kedudukan 2-3 dan kira-kira 30 saat kemudian giliran kapten Tok Gajah, Akmarulnizam Idris meledak untuk gol penyamaan.

Pahang Rangers kemudiannya berpeluang menambah jaringan masing-masing menerusi Rodriguinho, Felipe De Souza, Hamdin Zarif dan Razin Rahin namun Zainulzahin cemerlang menjadi penyelamat bagi memastikan JDT tidak berputih mata di laman sendiri.

“Kita pernah menang di sini, tapi untuk bangkit daripada 3-0 di Pasir Gudang memerlukan keberanian dan kekuatan mental yang luar biasa. Apa yang berlaku di bilik persalinan ketika rehat adalah tentang maruah, pemain-pemain tidak rela maruah dipijak. Respons mereka di babak kedua adalah justifikasi yang tepat,” kata Alonso.

Keputusan itu juga memastikan kedua-dua pasukan mengakhiri Sirkit Pertama dengan empat mata. Dalam aksi perbuka tirai pada Sabtu, JDT membenam USM dengan keputusan 9-1 manakala Pahang Rangers pula membenam ATM dengan keputusan 6-1.

Masing-masing kini berada di kedudukan kedua dan ketiga, manakala Selangor muncul peneraju awal dengan dua kemenangan di minggu pembukaan – 13-0 ke atas Wipers dan 9-2 ke atas ATM.

Kredit Gambar: Pahang Rangers FC

RELATED ARTICLES

Most Popular