HomeSukan"Usah Putar Belit, Pemalsuan Dokumen Satu Jenayah"

“Usah Putar Belit, Pemalsuan Dokumen Satu Jenayah”

Jenayah adalah jenayah, ia tidak perlu dipertahankan dalam apa jua keadaan. Demikian pandangan bekas pemain kebangsaan, Rosli Hussein yang menganggap kenyataan dibuat Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berhubung isu pemain warisan palsu adalah mengelirukan.

Saifuddin baru-baru ini menegaskan pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain dan kelayakan mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam pertandingan antarabangsa adalah dua perkara berbeza.

Justeru itu, Saifuddin berkata, status kewarganegaraan pemain terbabit tidak wajar dipertikaikan kerana semua proses dilaksanakan mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan setiap permohonan memenuhi syarat yang ditetapkan.

“Kenyataan sebegitu pasti membuatkan rakyat keliru bahawa kerakyatan boleh diberikan sewenang-wenangnya tanpa memenuhi syarat-syarat yang kita sendiri tetapkan.

“Saya tidak begitu jelas mengapa KDN berikan kad pengenalan kepada mereka dan jelas garis panduan Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan tidak dipenuhi. Pemalsuan dokumen merupakan satu jenayah,” kata Rosli kepada Nadi Arena.

Tambah Rosli lagi, penyokong bolasepak mahupun rakyat Malaysia secara amnya, boleh menilai sesuatu kenyataan itu dengan bijak dan tidak mudah digula-gulakan seperti dulu, kerana kini mereka terdedah dengan lebih banyak maklumat.

Kenyataan Rosli adalah selari dengan kenyataan terbuka dibuat Ultras Malaya, yang bertegas bahawa isu pemalsuan dokumen tidak seharusnya terus ‘diputar’ sehingga memberi gambaran pihak bertanggungjawab tampak cuba lepas tangan.

Menerusi satu kenyataan, Ultras Malaya berpendapat Saifuddin seolah-olah menganggap masyarakat tidak memahami perbezaan antara ‘pemberian kewarganegaraan’ dan ‘kelayakan bermain’.

“Menteri kata proses kewarganegaraan ikut Perlembagaan. Baik. Kita mudahkan cerita. Jika FIFA salah dalam pendedahan mereka, cabar FIFA. Jika CAS salah dalam keputusan mereka, cabar CAS. Jika dapatan Jawatankuasa Siasatan Bebas (IIC) salah, jawab dapatan IIC secara rasmi.

“Jika semua pembongkaran itu fitnah, pertahankan nama Malaysia. Sekarang, apabila Menteri menyatakan kerajaan tidak terbabit dalam proses kelayakan kerana tertakluk kepada statut FIFA, persoalannya mudah.

“Kenyataan saksi daripada Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) yang menerangkan proses semakan, dokumen tujuh pemohon, dan asas pemberian kewarganegaraan itu datang daripada kerajaan negara mana?

“Dalam keadaan wujud percanggahan, beban untuk menjelaskan terletak pada pihak yang mengeluarkan dan mengesahkan dokumen, bukan pada rakyat untuk meneka.

“Lebih penting, apabila kandungan dan asas dokumen itu kemudian bercanggah dengan dapatan FIFA, kenapa masih mahu buat seolah-olah kerajaan langsung tidak ada kena-mengena?” soal mereka.

Baca Juga: Ultras Malaya? Siapa Kamu Untuk Memberi Kata Dua?

Ultras Malaya turut melihat naratif sama terus diulang tanpa tindakan tegas meskipun selepas pembongkaran itu berlaku selama berbulan-bulan dan keputusan pengadilan sudah dikeluarkan oleh FIFA mahupun CAS.

“Ikut Perlembagaan. Ikut undang-undang. Ikut budi bicara Menteri. Itu sahaja yang diulang. Sedangkan isu ini sudah berkembang menjadi isu integriti dan kedaulatan negara.

“Untuk apa dipertahankan 7 orang pemain ‘warisan’ yang terbabit dalam pemalsuan dokumen itu lagi? Proses itu menimbulkan persoalan serius terhadap integritinya. Tarik balik kewarganegaraan tujuh pemain yang terbabit,” kata mereka.

RELATED ARTICLES

Most Popular