Eloy Alonso Fraile jelas mempunyai banyak sebab untuk tersenyum setelah berakhirnya minggu pembukaan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2026.
Skuad Pahang Rangers bimbingannya membuka kempen dengan kemenangan bergaya 6-1 mengatasi ATM pada Sabtu, namun highlight sebenar adalah kebangkitan sensasi yang dijelmakan ketika mencuri satu mata dari juara bertahan JDT dalam aksi kedua pada Ahad.
Pahang Rangers pada satu ketika dilihat bakal menjadi ‘lauk’ yang enak untuk diratah Harimau Selatan apabila ketinggalan 3-0 di separuh masa pertama. Namun Tok Gajah tampil dengan permainan bertenaga selepas rehat, menjaringkan tiga gol dalam seminit untuk mengikat kedudukan 3-3 malah hampir meraih tiga mata jika tidak kerana kecemerlangan Zainulzahin Sinuan di gawang JDT.
“Ia permulaan yang sangat baik buat kita. Ketika aksi pertama, kita berdepan ATM yang turun dengan azam mahu membuktikan sesuatu. Kita merencana dengan sabar dan menyudahkan hampir setiap peluang yang kita dapat untuk meraih tiga mata.
“Ketika menentang JDT, kita bukan sahaja berdepan pasukan juara bertahan, tetapi pasukan yang sangat kuat dan pilihan utama. Kita bermula dengan baik, mengancam mereka seawal minit pertama dan mengharungi 10-12 minit yang hebat walaupun tidak menjaringkan gol. Mereka pula memanfaatkan setiap peluang untuk mendahului 3-0.
“Di separuh masa kedua, semua dapat saksikan, wajah Pahang yang saya mahu. Inilah Pahang yang saya bentuk, Pahang yang tidak berputus asa. Dengan atitud dan mentaliti luar biasa, dengan keghairahan dan semangat yang tidak padam, mereka memberikan semaksimum yang boleh. Saya tabik atitud dan kerja keras mereka,” kata Alonso kepada Otai Station.
Empat mata dari Sirkit 1 meletakkan Pahang Rangers di kedudukan ketiga carta MPFL, dipisahkan menerusi beza jaringan dengan JDT yang menghuni tangga kedua. Juara 2022, Selangor pula di kedudukan pendahulu dengan enam mata, selepas melakar kemenangan ke atas Wipers dan ATM.
Aksi seterusnya, Sirkit 2 juga di Pasir Gudang, Pahang Rangers akan berdepan Terengganu pada Sabtu (23 Mei) dan Wipers pada Ahad (24 Mei).



