Jika kerajaan sudah putuskan tujuh pemain warisan palsu adalah rakyat Malaysia yang sah, keputusan itu perlu diterima dengan hati yang terbuka. Demikian pendapat disuarakan bekas pemain kebangsaan, Razman Roslan.
Razman bersetuju penyokong bolasepak tanah air dan seluruh rakyat Malaysia berhak untuk menyatakan pendapat mengenai isu kerakyatan tujuh pemain itu, yang didakwa mendapat kad pengenalan Malaysia dengan cara yang salah.
Meskipun menghormati setiap pandangan yang dilontarkan, bekas kapten Pahang dan Selangor itu berkata ruang yang secukupnya perlu diberikan kepada pihak berwajib untuk membuat penilaian secara teliti dan mengambil langkah penyelesaian yang wajar.
“Saya rasa setiap rakyat Malaysia memiliki pendapat dan pandangan masing-masing, mereka boleh cakap apa sahaja. Tetapi kita perlu memberikan pihak berwajib (ruang) melaksanakan tanggungjawab mereka.
“Jika mereka tetapkan yang mereka (tujuh pemain) adalah rakyat Malaysia yang diberikan kerakyatan, kita terpaksa menerimanya. Bagi saya, kita perlu ikut apa yang pihak kerajaan, terutama KDN, sudah tentukan.
“Masing-masing ada pendapat, termasuk pengkritik dan peminat, tetapi secara peribadinya, saya rasa kita patut ikut apa yang telah dipersetujui oleh kerajaan,” kata Razman kepada Astro Arena.
Ketika ini desakan semakin kuat supaya tujuh pemain iaitu Joao Figueireido, Facundo Garces, Jon Irazabal, Hector Hevel, Gabriel Palmero, Rodrigo Holgado dan Imanol Machuca ditarik balik kerakyatan kerana telahpun didapati bersalah oleh FIFA kerana terlibat dalam pemalsuan dokumen untuk mendapatkan kewarganegaraan Malaysia, seterusnya layak untuk bermain dengan skuad kebangsaan.
Ketika ia diajukan kepada Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution, dia menegaskan pemberian kewarganegaraan kepada tujuh pemain dan kelayakan mereka beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam pertandingan antarabangsa adalah dua perkara berbeza.
Justeru itu, Saifuddin berkata, status kewarganegaraan pemain terbabit tidak wajar dipertikaikan kerana semua proses dilaksanakan mengikut Perkara 19 Perlembagaan Persekutuan dan setiap permohonan memenuhi syarat yang ditetapkan.



