HomeSukanAda Pemain JDT Boleh Diturunkan Kuching, Selebihnya Kena Tunggu?

Ada Pemain JDT Boleh Diturunkan Kuching, Selebihnya Kena Tunggu?

Kuching City antara pasukan yang menghimpunkan paling ramai pemain-pemain Johor Darul Takzim di dalam skuad mereka. Justeru itu, timbul tanda tanya adakah mereka akan dapat diturunkan kelab dari Sarawak itu, dalam aksi final Piala Malaysia menentang JDT pada Sabtu.

Haziq Nadzli, Ramadhan Saifullah, Daniel Amier Norhisham dan Gabriel Nistelrooy dipinjamkan JDT kepada Kuching City untuk mengharungi kempen Liga Malaysia 2025/26.

Haziq dan Ramadhan bagaimanapun diberitakan telah menyertai skuad kendalian Aidil Sharin Sahak secara tetap, malah telahpun beraksi ketika pertembungan kedua-dua pasukan sebelum ini, dalam aksi Liga Super dan separuh akhir Piala FA. Ini bermakna kedua-dua pemain itu tiada masalah untuk diturunkan dalam perlawanan final nanti.

Tettapi bagaimana pula nasib Daniel Amier dan Gabriel Nistelrooy, adakah mereka akan mendapat lampu hijau untuk dibariskan, Aidil Sharin sendiri tiada jawapannya. Mungkin beliau sendiri sedang menunggu kata putus daripada pihak pengurusan.

“Mengenai pemain pinjaman, saya bukan orang paling sesuai untuk bercakap mengenai perkara itu. Mungkin pengurus atau pihak pengurusan lebih sesuai menjelaskannya. Buat masa ini, saya tidak boleh sahkan sama ada mereka boleh bermain atau tidak dan serahkan segalanya kepada pihak pengurusan.

“Namun, kita akan tetap memberikan yang terbaik dan semua pemain berada dalam keadaan bersedia. Siapa sahaja yang berada dalam skuad atau dalam senarai 20 pemain, saya sentiasa percaya kepada mereka. Perkara paling penting adalah kami fokus kepada pelan permainan dan memberikan yang terbaik di atas padang,” kata Aidil Sharin kepada pemberita ketika sidang media pra-perlawanan pada Jumaat.

Untuk rekod, Haziq dan Ramadhan telah menjadi tonggak penting untuk musim cemerlang Kuching City – di mana selain mara ke final Piala Malaysia dan separuh akhir Piala FA buat kali pertama dalam sejarah, mereka turut menamatkan aksi Liga Super di tangga kedua dan layak beraksi di Asian Champions League musim depan.

RELATED ARTICLES

Most Popular