HomeSukanAlif Buktikan Keluar Dari JDT Keputusan Tepat

Alif Buktikan Keluar Dari JDT Keputusan Tepat

Bintang berbakat besar, Alif Mat Amin membuktikan keputusan untuk keluar dari JDT dan bermain dengan Terengganu adalah keputusan tepat, apabila menjaringkan empat gol ketika aksi pembukaan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) 2026 minggu lalu.

Pemain yang pernah mendapat jolokan ‘Messi of Futsal’ itu menyertai negeri kelahirannya secara pinjaman selama semusim, dan dia tidak menunggu lama untuk menyerlahkan semula potensinya yang terbatas sejak menyertai JDT pada 2025.

Pemain lincah bertubuh kecil itu meledak jaringan pada minit ke-4, 17, 23, dan 29 untuk membantu Terengganu membuka kempen dengan langkah kanan menewaskan USM FT 5-4. Satu lagi gol dijaringkan pemain kebangsaan, Syed Shahrul Niezam pada minit ke-18.

Ia pastinya suntikan motivasi terbaik buat Alif yang hanya menjaringkan satu gol sepanjang musim lalu bersama skuad Harimau Selatan, itupun dalam saingan Malaysia Futsal Cup.

Untuk aksi minggu kedua, Terengganu yang baru musim ini kembali bermain di Divisyen 1 akan berdepan dua ujian yang cukup mencabar. Pada Sabtu, mereka akan menentang JDT pada Sabtu. Tidak pasti sekiranya Alif dapat diturunkan atau terdapat perjanjian dia tidak boleh bermain menentang ‘parent club’.

Kemudian pada Ahad, Terengganu akan berdepan satu lagi pasukan pilihan, Pahang Rangers dalam pertembungan klasik derby pantai timur. Untuk rekod Alif turut pernah bersama Pahang Rangers, meninggalkan pasukan itu selepas membantu mereka menjulang kejuaraan berganda MPFL dan Malaysia Futsal Cup pada 2023.

Sekiranya dapat meneruskan sentuhan jaringan cemerlang, pemain berusia 28 tahun ini pastinya antara nama yang bakal menjadi perhatian peminat futsal tanah air dan berada dalam radar ketua jurulatih skuad kebangsaan, Addie Azwan Zainal.

Berikut jadual bagi Sirkit 2 (Pasir Gudang):
Sabtu (23 Mei 2026)

USM FT vs ATM (10 pagi)
PFA Odin Sarawak vs Selangor FC (1.30 tgh hari)
JDT vs Terengganu (5 petang)
Pahang Rangers vs Wipers (8.30 malam)

Ahad (24 Mei 2026)

USM FT vs Selangor (10 pagi)
Wipers vs PFA Odin Sarawak (1.30 tgh hari)
Terengganu vs Pahang Rangers (5 petang)
JDT vs KL City (8.30 malam)

RELATED ARTICLES

Most Popular