Faktor kurang pengalaman bermain di final dikatakan sebagai salah satu punca Selangor gagal membaham Buriram United dalam aksi final Kejuaraan ACC Piala Shopee, yang menyaksikan skuad gergasi merah kuning kecundang agregat 3-1.
Perkara itu didedahkan oleh ketua jurulatih, Kim Pan-gon yang menyatakan meskipun pemain-pemain turun dengan semangat yang berkobar namun mereka tidak dapat mengatasi rasa gugup, terutama ketika aksi pertama di Petaling Jaya.
“Kali ini (final kedua) saya sangat bangga dengan semua pemain kerana mereka bermain dengan sangat baik dan saya tiada sebarang penyesalan.
“Situasi berbeza pada perlawanan di laman sendiri minggu lalu, ketika itu pemain mungkin tercari rentak kerana bermain di final buat kali pertama selepas sekian lama dan mereka agak gementar.
“Namun, kami sentiasa memberi dorongan dan mengalakkan mereka menunjukkan karakter sebenar dan tampil dengan penuh yakin. Cuma, harus diakui final ini sangat sukar, walaupun kami tetap cuba mengekalkan karakter pasukan untuk menentang pasukan sekuat Buriram,” ujar bekas jurulatih Harimau Malaya itu.
Tambahnya, “Kami cuba membetulkan beberapa perkara dari segi taktikal dan ia menjadi. Corak bertahan kami berfungsi dengan baik.”
Pada perlawanan itu, Selangor yang tewas 0-1 pada perlawanan pertama,tampil lebih agresif dan berjaya mengikat kedudukan agregat menerusi Syahir Bashah pada minit ke-18. Namun mereka tidak dapat mengekalkan momentum, membenarkan Buriram bangkit menerusi jaringan Suphanat Muenta dan gol cantik Theerathon Bunmathan, sekaligus mempertahankan kejuaraan.
Meskipun menamatkan musim tanpa sebarang trofi, rata-rata penyokong Selangor berpuas hati dengan prestasi ditunjukkan, sambil menyatakan tidak semua pasukan bertuah untuk bermain di pentas final peringkat ASEAN.
“Memang nak sangat tengok Selangor julang piala, tapi kita tetap bertuah kerana dalam musim yang banyak naik turun, pertukaran jurulatih dari Katsuhito Kinosshi, Christopher Gamer sebagai interim, kemudian Kim Pan-gon, kita berjaya untuk layak ke final pentas ASEAN. Ada pasukan bertanding tak lepas grouping, tak lepas semi final, jadi tak semua bertuah.
“Apa yang penting jangan patah hati, jangan down kerana anda semua telah cuba yang terbaik. Semoga tahun depan dapat bangkit mencatat keputusan yang jauh lebih baik,” antara komen penyokong setia Red Giants di media sosial.



