HomeSukan"Semua Berdiam, Masih Ada Maruah Atau Tidak" - Ultras Malaya

“Semua Berdiam, Masih Ada Maruah Atau Tidak” – Ultras Malaya

Ultras Malaya terus lantang bersuara menuntut pihak bertanggungjawab tampil memberi penjelasan serta bersikap telus berhubung kontroversi status kerakyatan tujuh pemain yang dikaitkan dengan bola sepak Malaysia.

Mereka mempersoalkan mengapa tiada sesiapa yang tampil mengambil tanggungjawab secara terbuka walaupun siasatan dan semakan telah dijalankan oleh FIFA, Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) dan Jawatankuasa Integriti Bebas (IIC).

Dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat, kumpulan penyokong itu mengkritik apa yang disifatkan sebagai naratif yang sentiasa berubah serta sikap berdiam diri yang berterusan mengenai isu tersebut.

“Hari makin hari berlalu, satu demi satu dah terbongkar. Tiada satu pun yang berani ke depan tampil memberi jawapan. Lepas tu rakyat disuruh percaya naratif lepas tangan yang direka tu.

“Bila FIFA buka kes di bawah Article 22 melibatkan forgery dan falsification, mula bercakap tentang “proses”. Bila Jawatankuasa Rayuan FIFA kekalkan keputusan, semua mula bercakap tentang “bidang kuasa”.

“Bila CAS masuk campur dan keputusan masih memihak kepada dapatan utama FIFA, semua mula bercakap tentang “Perlembagaan”,” ujar Ultras Malaya.

Mereka juga menegaskan bahawa isu ini bukan sekadar perdebatan mengenai kelayakan pemain. Sebaliknya, ia turut membabitkan kesahihan dokumen sokongan serta sistem yang bertanggungjawab memastikan dokumen berkenaan disahkan dengan betul.

“Sampai hari ini, tak ada siapa berani jawab persoalan paling asas. Siapa yang bertanggungjawab memastikan dokumen-dokumen itu sah sebelum digunakan untuk membawa nama Malaysia ke pentas antarabangsa?

“Jangan cakap ini cuma soal kelayakan. Kelayakan tak jatuh dari langit, ianya dibina atas dokumen. Dan dokumen itu datang dari sistem negara. Witness Statement Ketua Pengarah JPN bukan dokumen FIFA, dan proses semakan kewarganegaraan bukan dibuat di Zurich. Jadi kenapa sekarang semua tiba-tiba senyap?

“Lebih memalukan, FIFA dah buat dapatan. CAS dah mendengar rayuan, dan IIC dah keluarkan laporan. Tapi dalam negara? Masih tiada tindakan tegas dan semakan terbuka. Tiada keberanian untuk mengaku bahawa sesuatu telah gagal dalam sistem.

“Isu ini dah terlalu besar untuk disorok di bawah karpet. Rakyat bukan sedang bertanya tentang tujuh pemain semata-mata. Rakyat sedang bertanya masih wujudkah integriti dalam sistem negara ini?” soal Ultras Malaya.

Untuk rekod, kontroversi status kelayakan dan kewarganegaraan tujuh pemain menjadi perhatian dunia susulan dakwaan bahawa terdapat ketidakaturan pada dokumen yang digunakan dalam proses mendapatkan kerakyatan atau pendaftaran mereka.

Isu itu menjadi semakin serius apabila FIFA membuka prosiding di bawah Artikel 22 berhubung dakwaan pemalsuan dan penipuan dokumen, sebelum keputusan asal tersebut kemudiannya dikekalkan oleh Jawatankuasa Rayuan FIFA.

Kes berkenaan kemudian dibawa ke CAS, manakala Jawatankuasa Integriti Bebas (IIC) Malaysia turut menjalankan siasatan mereka sendiri terhadap perkara itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular