Kecewa segala ikhtiar yang diambil untuk menuntut tunggakan gaji lebih RM100,000 dari Kedah Darul Aman FC tidak berhasil, Rosle Derus mahu berjumpa dengan Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sebagai langkah penyelesaian terakhir.
Rosle percaya TMJ adalah individu tepat untuk menoktahkan kemelut yang berlarutan lebih dua tahun itu, kerana sifat baginda yang sentiasa memperjuangkan isu kebajikan pemain dan pegawai pasukan.
“Semua proses di FAM sudah selesai tetapi tiada bayaran dibuat. Setiap kali saya WhatsApp (pengurusan KDAFC), mereka kata akan usahakan tetapi sampai sekarang tiada tindakan pun untuk bayar gaji saya.
“Saya dah habis ikhtiar. Akhir sekali kalau boleh saya mahu jumpa TMJ. Saya memang sudah tiada pilihan lain, kena jumpa TMJ sahaja cara dia,” katanya kepada Arena Metro.
Rosle juga terkilan dengan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) yang didakwanya gagal mengambil langkah lebih tegas walaupun keputusan berkaitan tunggakan gaji itu sudah dibuat.
Menurutnya, badan induk itu sepatutnya boleh menggunakan cagaran atau geran yang diterima KDAFC selepas kelab berkenaan menyertai saingan Liga A1 Semi-Pro bagi menyelesaikan tunggakan yang masih belum dijelaskan.
“FAM pun saya rasa patut buat sesuatu. Sepatutnya ambil duit cagaran atau geran yang ada dan bayar tunggakan gaji saya apabila dimaklumkan bahawa KDAFC tidak mengendahkan tuntutan saya. Tetapi sampai sekarang mereka (FAM) pun senyap sahaja langsung tiada tindakan lanjut,” katanya.
Bulan lalu, Rosle meminta Kerajaan Negeri Kedah khususnya Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Muhammad Sanusi Md Nor dapat campur tangan untuk menyelesaikan kemelut tersebut malah keluhannya turut mendapat perhatian Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, Dato’ Ong Kim Swee.
Kim Swee menyifatkan nasib dialami Rosle sebagai sesuatu yang menyedihkan, malah mendedahkan bekas presiden PJBM, mendiang B. Sathiananthan, turut pernah berdepan masalah sama.
“Kita pernah ada jurulatih membawa kes ke mahkamah buruh, tetapi kami tidak pasti sama ada tunggakan itu akhirnya dibayar atau tidak.
“Terdapat juga bekas pemain dan jurulatih yang memfailkan saman terhadap pemilik kelab kerana gagal melunaskan gaji, malah seorang pemilik pernah dipenjara kerana gagal menjelaskan tunggakan tersebut,” ujarnya.



