HomeSukanHincapie, Pacho, Caicedo Perkasa Skuad Piala Dunia Ecuador

Hincapie, Pacho, Caicedo Perkasa Skuad Piala Dunia Ecuador

Jurulatih Ecuador, Sebastian Beccacece, menamakan skuad dibarisi beberapa pemain pertahanan berprofil tinggi bagi menghadapi Piala Dunia, termasuk Willian Pacho dan Piero Hincapie yang baru sahaja bertembung dalam aksi final Liga Juara-Juara Eropah.

Pacho (Paris Saint Germain) dan Hincapie (Arsenal) sedang berada di kemuncak prestasi ketika ini, dengan Pacho menjadi nadi kelabnya menjulang Ligue 1 dan Liga Juara Eropah, manakala Hincapie pula menjadi tonggak penting membantu Arsenal menamatkan kemarau kejuaraan English Premier League selama 22 tahun.

Justeru kehadiran mereka untuk memperkasa pertahanan dianggap suntikan motivasi terbaik buat Ecuador yang mencipta kejutan di pusingan kelayakan CONMEBOL dengan menduduki tangga kedua, mengatasi Colombia, Uruguay dan Brazil.

Turut dipanggil ialah bek kiri Pervis Estupiñán yang beraksi bersama AC Milan, manakala pemain tengah bertahan Chelsea, Moisés Caicedo, dijangka menjadi benteng pertama yang mengukuhkan lagi kekuatan pertahanan pasukan.

Baca Juga: Kisah Kesetiaan Moises Caicedo

Caicedo kini layak diturunkan dalam perlawanan pembukaan Ecuador menentang Ivory Coast pada 14 Jun selepas FIFA mengubah peraturan berkaitan penggantungan ringan yang diperoleh pemain ketika kempen kelayakan.

Di bahagian serangan pula, harapan Ecuador akan dipikul oleh penyerang berpengalaman berusia 36 tahun, Enner Valencia. Kapten pasukan itu juga merupakan penjaring terbanyak sepanjang zaman Ecuador dengan 49 gol daripada 105 penampilan antarabangsa.

Valencia bakal beraksi dalam Piala Dunia ketiganya dan berpeluang menambah koleksi enam gol yang telah dijaringkannya di kejohanan paling berprestij dunia itu, yang berlangsung dari 11 Jun hingga 19 Julai di Amerika Syarikat, Mexico dan Kanada.

Sebagai persiapan terakhir sebelum kejohanan bermula, Ecuador akan menentang Guatemala dalam aksi persahabatan pada Ahad, sebelum berdepan Curaçao pada 20 Jun dan Germany lima hari kemudian dalam saingan Kumpulan E.

Piala Dunia kali ini merupakan penampilan kelima Ecuador di kejohanan tersebut. Pencapaian terbaik mereka setakat ini hadir pada edisi 2006 di Jerman apabila mara ke pusingan 16 terbaik sebelum tewas kepada England.

Skuad Piala Dunia Ecuador :

Penjaga gol:Hernan Galindez, Moises Ramirez, Gonzalo Valle

Pertahanan: Piero Hincapie, Willian Pacho, Pervis Estupinan, Felix Torres, Joel Ordonez, Jackson Porozo, Angelo Preciado

Tengah: Moises Caicedo, Alan Franco, Kendry Paez, Pedro Vite, Jordy Alcivar, Denil Castillo, Yaimar Medina

Serangan: Enner Valencia, Gonzalo Plata, Alan Minda, John Yeboah, Kevin Rodriguez, Jordy Caicedo, Nilson Angulo, Anthony Valencia, Jeremy Arevalo

RELATED ARTICLES

Most Popular