Slot automatik yang diberikan kepada Presiden Malaysian Football League (MFL) untuk mengisi satu daripada tiga jawatan Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), menimbulkan persoalan dan perdebatan hangat.
Ia antara cadangan terkandung dalam draf perlembagaan baharu sebanyak 94 artikel diusulkan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) yang bakal dibahas di Kongres Luar Biasa FAM pada Khamis ini.
AFC menyatakan cadangan penambahbaikkan tersebut dibuat bagi meningkatkan standard pengurusan ke tahap lebih tinggi setelah menjalankan audit pengurusan kualiti serta semakan menyeluruh terhadap statut FAM sepanjang dua bulan lalu.
Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Selangor, Datuk Seri Shahril Mokhtar berkata cadangan itu tidak melambangkan demokrasi dan hanya menjadi tiket mudah buat wakil MFL.
“Di manakah demokrasi yang dilaungkan? Ia perlu diperlihatkan dalam proses sebegini. Bagi saya ketiga-tiga jawatan Naib Presiden harus dipertandingkan. Jadi di kemudian hari, di antara tiga Naib Presiden itu, seorang akan dipilih oleh Exco untuk dilantik sebagai Presiden MFL.
“Ini kerana apa yang terjadi dalam MFL adalah tanggungjawab FAM sendiri. Kita pun tahu sebelum ini ada Exco FAM yang merupakan Ahli Lembaga Pengarah MFL. Tujuannya adalah untuk memantau pergerakan, perjalanan liga dan sebagainya.
“Jadi, seandainya jawatan Naib Presiden kedua diberikan secara automatik kepada Presiden MFL, bagi saya ia tidak kena,” kata Shahril kepada Nadi Arena.
Peguam sukan terkemuka, Nik Erman Nik Roseli turut senada, apabila menyatakan wakil MFL tidak wajar diberikan slot automatik bagi mengisi salah satu kerusi Naib Presiden FAM. Menurutnya badan pengelola Liga Malaysia itu hanya perlu bertindak sebagai badan penghubung di antara FAM dan MFL.



