Jika ada perumpamaan untuk menggambarkan nasib dialami pemain warisan palsu negara, Imanol Machuca, “tiada penyakit, cari penyakit” mungkin antara yang paling sesuai.
Mana tidaknya, gara-gara menerima pelawaan Rob Friend untuk menyarung jersi Harimau Malaya, dia terpalit dengan pelbagai masalah dalam karier yang selama ini berjalan dengan elok sahaja tanpa menganggu orang lain. Kini, masa depannya dalam keadaan cukup samar.
Pada usia 25 tahun, dia yang sedang gembira membina reputasi dalam ‘circle’ sendiri di Argentina, didatangi team Rob Friend yang meyakinkannya ada nenek di Malaysia berasal dari Pulau Pinang seterusnya menawarkan peluang bermain dengan skuad Harimau Malaya.
Ceritanya mungkin berbeza jika dia menolak tawaran itu, dia boleh terus gembira dengan kehidupannya. Tiada perhatian diberikan, namanya tidak akan dikenali, tetapi dia akan ada karier yang mantap, ada gaji, tetapi malang nasibnya, silap membuat keputusan, kini menjalani penggantungan 12 bulan, dikaitkan dengan jenayah pemalsuan dokumen, karier di hujung tanduk, malah gaji juga tidak dibayar sejak bulan Mac.
Laporan Sabado Velez, media latin yang mengikuti rapat perkembangan Machuca dan juga kelab Argentina diwakilinya, Velez Sarsfield, menyebut bahawa pemain itu tidak menerima sebarang pembayaran gaji selepas persetujuan bersama dicapai pada akhir Mac lalu – dia diletakkan di bawah status cuti tanpa gaji.
Malah, laporan itu turut mendedahkan kontrak Machuca yang dipinjamkan dari Fortaleza, bakal ditamatkan berkuatkuasa 30 Jun ini.
Keputusan drastik itu merupakan ‘domino effect’ kepada kontroversi sedang dihadapi oleh Machuca dan enam pemain lain susulan isu pemalsuan dokumen pemain warisan Harimau Malaya. Dia tidak dibenarkan beraksi sehingga tempoh penggantungan itu tamat pada 1 November depan.
Meskipun terdapat kemungkinan untuk barisan kejurulatihan menilai semula khidmat beliau pada masa hadapan, keputusan pengurusan setakat ini adalah muktamad dan Machuca tidak lagi akan bersama Velez Sarsfield bermula akhir bulan ini.



