HomeSukanPahang Rangers Terus Rancak Ketengah Ubi Muda

Pahang Rangers Terus Rancak Ketengah Ubi Muda

Bertahun lamanya Pahang Rangers dikenali sebagai kilang melahirkan pemain-pemain muda berbakat besar, dan mereka terus mengukuhkan reputasi itu apabila memperkenalkan beberapa lagi pemain muda ke kancah futsal tanah air.

Harith Naim Mohd Nasir sudah tentunya produk Pahang Rangers paling popular. Diasah sejak dari usia 16 tahun pada 2016, Harith Naim melonjakkan namanya sebagai salah seorang bintang terkemuka, dinobatkan Pemain Paling Bernilai pada 2023 dan kini menjadi sandaran utama pasukan itu dalam kancah Malaysian Premier Futsal League.

Antara lain adalah nama-nama seperti Hamdin Zharif, Mahadir Harahap, Zainulzahin Sinuan, serta Norakmal Norizal yang mana kesemuanya bukan sekadar membina identiti di bawah Pahang Rangers, malah turut mendapat peluang menyarung jersi kebangsaan. Masa berlalu, hanya Hamdin yang masih kekal setia menabur bakti, tatkala Mahadir, Zainulzahin dan Norakmal disambar sang gergasi dari selatan, JDT.

Kini, generasi baru sedang dibentuk – dari 21 pemain yang didaftarkan, tujuh pemain adalah pemain muda berusia bawah 21 tahun. Adam Rayyan antara yang sedang menonjol. Pemain skuad B-20 kebangsaan ini menyertai Pahang Rangers pada 2025, memperkuatkan skuad pembangunan dan kini mula mendapat lebih pendedahan di pentas MPFL.

Dia menjaringkan hatrik pertama kariernya ketika Pahang Rangers melakar kemenangan besar 19-2 ke atas Wipers pada 23 Mei lalu di Pasir Gudang.

Begitu juga dengan Khairulaiman Md Zahid, serta himpunan homegrown talent yang semakin menonjol seperti Farhan Adib, Ikmal Haikal, dan Syazwan Zukri – Syazwan yang juga anggota skuad SUKMA Pahang 2024 membuat debut di MPFL ketika menentang Wipers dan lebih manis dia meraikan penampilan sulung itu dengan menjaringkan satu gol.

Tidak ketinggalan pemain-pemain seperti Syahmie Rusli dan Arash Danial yang membarisi skuad pembangunan dan SUKMA Pahang 2026 – Syahmie pernah dipanggil ke kem latihan skuad kebangsaan manakala Arash pula merupakan anggota skuad B-19 negara yang memenangi pingat gangsa Kejuaraan Futsal B-19 ASEAN di Bangkok pada November tahun lalu.

Pahang Rangers membuktikan bahawa kehilangan bintang bukanlah sesuatu untuk ditangisi, sebaliknya ia hanyalah ruang untuk permata baru menyinar. Bumi Pahang tidak pernah ketandusan peluru, setiap kali satu generasi melangkah ke hadapan, akan muncul pula generasi baharu yang bersedia menyambung legasi dan meledak pada bila-bila masa.

Mereka membuktikan bahawa pembangunan pemain muda bukan sekadar slogan, tetapi DNA sebenar kelab. Semoga mereka terus menjadi antara pencetus bakat futsal no.1 negara, selari dengan slogan Pahang Rangers, The Heart of Futsal.

Foto: Pahang Rangers FC

RELATED ARTICLES

Most Popular