Tonggak JDT, Manuel Hidalgo memilih bintang Portugal, Joao Felix sebagai nama yang perlu diberi perhatian apabila berlangsungnya Piala Dunia 2026 bermula 12 Jun depan.
Mengharungi musim debut cemerlang bersama Al-Nassr, Joao Felix menjaringkan 20 gol dan mencetak 13 assist untuk membantu kelabnya menjulang Saudi Pro League 2025/26, seterusnya dinobatkan Pemain Terbaik Tahunan Saudi Pro League.
Justeru, Hidalgo percaya pemain berusia 26 tahun itu akan membawa sentuhan dan prestasi baiknya ke kem Portugal yang turut diperkuatkan ramai bintang terkemuka antaranya Vitinha, Bruno Fernandes, Joao Neves, Cristiano Ronaldo, Ruben Dias, Bernardo Silva, Pedro Neto dan Joao Cancelo.
“Dia akan terus menyerlah dan mencetus impak besar, berpotensi menjadi salah seorang pemain terbaik pertandingan,” ujar Hidalgo seperti dilaporkan Timesport, mengenai bekas pemain Atletico Madrid, Chelsea, Barcelona dan AC Milan itu.
Hidalgo yang berasal dari Buenos Aires, Argentina, turut melaungkan keyakinan negara kelahirannya itu adalah calon pilihan untuk mempertahankan kejuaraan Piala Dunia yang dimenangi empat tahun lalu di bumi Qatar.
“Selagi Argentina ada Lionel Messi, selagi itu mereka mempunyai kelebihan dan berada selangkah di depan berbanding pencabar yang lain,” tambah Hidalgo mengagumi sentuhan Pemenang Ballon d’Or sebanyak lapan kali itu.
Meskipun Hidalgo pernah mengakui bahawa beliau mengidolakan Diego Maradona ketika membesar, namun jelas sekali era Messi telah membentuk seluruh generasi pemain bola sepak Argentina yang menyaksikannya mendominasi pentas Eropah bersama Barcelona sebelum menakluk arena antarabangsa.
Dialah kapten yang akhirnya membungkam kritikan bertahun-tahun dengan memenangi Copa America pada 2021 sebelum menamatkan penantian 36 tahun Argentina untuk menjulang Piala Dunia setahun kemudian.
Untuk edisi kali ini yang berlangsung di USA-Mexico-Canada, Argentina yang merupakan juara dunia tiga kali diundi dalam Kumpulan J bersama Algeria, Austria dan Jordan.



