Kenyataan dibuat Tan Sri Hamidin Mohd Amin, supaya skandal pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan palsu dilupakan sahaja, mengundang kecaman penyokong dan pemerhati bolasepak tanah air.
Hamidin selepas Kongres Luar Biasa Persatuan Bolasepak Malaysia pada Khamis meminta semua pihak supaya tidak terus menjadikan kontroversi itu sebagai topik perbicaraan dan ‘move on’ sahaja.
“Tiada gunanya bercakap tentang benda yang sudah lepas, lupakan sahaja dan biarlah ia menjadi sejarah,” ujarnya sambil menyerahkan kepada kepimpinan baru yang akan dilantik untuk menjawab persoalan yang dibangkitkan mengenai isu itu.
Begitupun, ia jelas mengundang reaksi kurang senang penyokong, yang berpendapat kenyataan Hamidin itu bukan sahaja cubaan lepas tangan dan lari daripada tanggungjawab, malah menjadi ‘enabler’ kepada budaya penipuan.
“Begitu mudah Tan Sri Hamidin menyuruh penyokong bola sepak Malaysia melepaskan isu tujuh pemain ini. Mentang-mentanglah jawatan dia selamat. Dia lupa agaknya, semua yang berlaku sekarang ni berpunca daripada pemalsuan dokumen tu.
“Skandal ini yang membuka kelemahan besar dalam tadbir urus FAM apabila di-audit AFC. Perkara paling bertanggungjawab yang FAM boleh lakukan sekarang ialah menyokong semakan rasmi terhadap status kerakyatan yang diperoleh melalui proses tercemar ini, menyerahkan semua dapatan kepada pihak berkaitan, dan memastikan kerakyatan mereka tujuh pemain ni ditarik balik.
“Reformasi tidak boleh bermula dengan melupakan. Reformasi mesti bermula dengan kebenaran dan pertanggungjawaban. Dengan kenyataan seperti ini, Hamidin bukan sekadar mahu isu ini ditinggalkan sebagai sejarah.
“Beliau juga sedang memainkan peranan sebagai “enabler” kepada budaya lama bola sepak Malaysia, iaitu budaya yang mahu skandal besar ditutup dengan ayat “move forward”. Masa depan bola sepak Malaysia tidak boleh dibina atas pemalsuan yang disorokkan.
“Jangan suruh penyokong “let it go”, FAM yang kena let go tujuh pemain palsu itu. Shame on you enabler!” kata kumpulan penyokong Ultras Malaya.



