HomeSukanPiala Dunia 2026 Menghimpunkan Paling Ramai Adik-Beradik

Piala Dunia 2026 Menghimpunkan Paling Ramai Adik-Beradik

Piala Dunia 2026 bukan sahaja akan menampilkan pemain bola sepak terbaik dunia, tetapi juga meraikan hubungan kekeluargaan, dengan lapan pasangan adik-beradik dijangka beraksi dalam kejohanan yang bermula pada 12 Jun nanti.

Daripada lapan pasangan itu, empat pasangan akan bermain untuk negara berbeza, sekali gus mencipta salah satu subplot paling menarik dalam edisi kejohanan yang diperluaskan kepada 48 pasukan ini.

Guela Doue dan Desire Doue. Si abang, Guela, mewakili Ivory Coast dan sudah menjadi pemain tetap pasukan itu, manakala adiknya, Désiré, muncul sebagai antara bintang muda paling bersinar di Perancis.

Guela kini beraksi bersama Strasbourg, manakala perkembangan pesat Désiré di Paris Saint-Germain menjadikannya antara bakat muda paling menarik dalam bola sepak dunia.

Seterusnya, Inaki Williams dan Nico Williams, yang boleh dikatakan sebagai pasangan adik-beradik paling terkenal di kejohanan ini. Di peringkat kelab, kedua-duanya masih bermain bersama di peringkat kelab bersama Athletic Bilbao, namun kerjaya antarabangsa mereka membawa haluan berbeza.

Inaki memilih untuk mewakili Ghana dan telah membuat lebih 25 penampilan serta menjaringkan dua gol untuk Black Stars setakat ini.

Nico pula kini menjadi tonggak utama Sepanyol, membantu La Roja memenangi Euro 2024. Dengan 30 kaps dan enam gol, pemain sayap muda itu kini muncul sebagai antara winger terbaik di Eropah.

Derrick Luckassen dan Brian Brobbey. Mungkin tidak ramai yang tahu, mereka adalah adik-beradik. Luckassen yang bermain dengan kelab Cyprus, Pafos memilih untuk menyarung jersi Ghana manakala bintang Sunderland, Brian Brobbey pula memperkuatkan pasukan Netherlands.

Tidak ketinggalan John Souttardan Harry Souttar. Abang, John, menjadi tonggak Scotland dan terus cemerlang bersama Rangers, di mana kepimpinan dan kekuatan pertahanannya menjadikannya pemain penting pasukan.

Adiknya, Harry, pula membina reputasi antarabangsa bersama Australia. Pertahanan Leicester City itu menjadi antara pemain paling berpengaruh dalam skuad Socceroos dan kerap beraksi di kejohanan besar, menjadikannya antara nama paling dikenali dalam bola sepak Australia.

Ini pula empat pasangan adik-beradik yang akan bermain dalam pasukan yang sama. Mendahului senarai sudah tentunya Lucas Hernandez dan Theo Hernandez – yang boleh disifatkan pasangan yang cukup berjaya dalam bolasepak.

Lucas yang kini bersama Paris Saint-Germain, merupakan sebahagian daripada skuad Perancis yang menjuarai Piala Dunia 2018 dan masih menjadi pilihan berpengalaman di benteng pertahanan. Adiknya, Theo, kini sudah mengukuhkan status sebagai bek kiri utama Perancis dan terus menyerlah bersama kelab Arab Saudi, Al-Hilal.

Belanda pula meletakkan harapan kepada pasangan kembar Jurrien Timber dan Quinten Timber dalam usaha mereka melangkah jauh di Piala Dunia kali ini.

Jurrien menjadi antara pertahanan paling mantap Oranje hasil prestasi bersama Arsenal, di mana dia berkembang sebagai salah satu bek muda paling dipercayai di Eropah. Abangnya, Quinten, pula membina karier sendiri di bahagian tengah dan kini beraksi bersama Marseille.

Kehadiran Laros Duarte dan Deroy Duarte pula menyerikan harapan Cape Verde. Laros yang beraksi bersama kelab Hungary, Puskas Akademia, semakin berkembang menjadi pemain penting dalam skuad kebangsaan.

Deroy pula mewakili juara Bulgaria, Ludogorets, dan dijangka memainkan peranan besar di bahagian tengah.

Curacao melengkapkan senarai ini dengan pasangan adik-beradik Leandro Bacuna dan Juninho Bacuna. Leandro memasuki kejohanan sebagai salah seorang ketua pasukan dan pemain senior, membawa pengalaman serta kepimpinan yang besar kepada skuad.

Juninho pula melengkapkan peranan abangnya dengan kualiti di bahagian tengah serta pengalaman antarabangsa yang dimilikinya.

Berdasarkan undian Piala Dunia, bermakna tiada pasangan adik-beradik yang berbeza negara ini akan bertemu pada peringkat kumpulan. Justeru, pertembungan antara adik-beradik hanya boleh berlaku pada peringkat kalah mati, berkemungkinan bermula dari pusingan 32 ke atas.

RELATED ARTICLES

Most Popular