HomeSukanPiala Dunia: Rajagobal Pilih Mexico

Piala Dunia: Rajagobal Pilih Mexico

Bekas jurulatih skuad kebangsaan, Datuk K.Rajagobal memilih Mexico untuk meraih tiga mata apabila berdepan Korea Selatan dalam pertembungan getir Kumpulan A Piala Dunia 2026 pada Jumaat ini.

Bukan merendahkan kemampuan Korea Selatan kendalian Hong Myung Bo, namun Rajagobal yang membimbing skuad negara menjuarai Piala AFF pada 2010 berpendapat Mexico ada sedikit kelebihan untuk memenangi pertembungan tersebut.

“Kedua-dua pasukan memenangi perlawanan pertama mereka dan ia bukanlah kemenangan yang mudah. Mexico berdepan tekanan sebagai tuan rumah untuk meraih kemenangan.

“Saya percaya pasukan-pasukan akan mula menunjukkan peningkatan dalam perlawanan kedua. Mereka akan lebih tenang dan serasi. Saya melihat Mexico mempunyai kelebihan kerana mereka merupakan negara yang sentiasa beraksi di Piala Dunia dan bola sepak di sana sama besarnya seperti di Brazil,” katanya dipetik dari laporan Timesport.

Walaupun mengakui Korea Selatan juga mempunyai reputasi hebat di pentas dunia, Rajagobal berpendapat kelebihan beraksi di laman sendiri mampu menjadi faktor pemisah dalam perlawanan yang dijangka sengit itu.

“Korea Selatan juga merupakan pasukan yang kerap beraksi di Piala Dunia sejak beberapa edisi lalu. Mereka menunjukkan karakter yang baik ketika menewaskan Republik Czech. Para pemain mempamerkan semangat berpasukan dan daya juang tinggi, namun saya fikir Mexico mempunyai sedikit kelebihan untuk meraih kemenangan.

“Saya menjangkakan Mexico mempunyai sedikit kelebihan untuk mencatat kemenangan tipis,” ujarnya yang tidak mengendalikan mana-mana pasukan sejak melepaskan jawatan sebagai ketua jurulatih Brunei pada 2022.

Untuk rekod, Mexico memulakan kempen dengan kemenangan 2-0 ke atas Afrika Selatan menerusi jaringan Julian Quinones dan Raul Jimenez. Namun, mereka bakal turun tanpa kelibat pertahanan tengah utama, Cesar Montes yang digantung perlawanan selepas dilayangkan kad merah.

Korea Selatan pula mencuri perhatian dengan aksi bertenaga di babak kedua, apabila bangkit daripada ketinggalan menewaskan Republik Czech 2-1, hasil jaringan Hwang In Beom dan Oh Hyeon Gyu.

RELATED ARTICLES

Most Popular