HomeSukanPertembungan Selangor-Pahang Rangers Dijangka Full-House

Pertembungan Selangor-Pahang Rangers Dijangka Full-House

Saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL ) beralih ke Kuantan minggu ini dengan berlangsungnya Sirkit 4 membabitkan lapan lagi perlawanan pada 20 dan 21 Jun.

Tumpuan pastinya terarah kepada pertembungan dua pasukan teratas, Selangor dan Pahang Rangers yang kedua-duanya sedang berada pada prestasi terbaik. Tiket aksi panas itu difahamkan sudah hampir ‘sold out’ sekaligus menjanjikan malam fenomena dan gelombang lautan hitam-putih di Stadium Tertutup SUKPA pada Sabtu.

Selangor yang menerajui carta liga dengan 18 mata, bertandang ke SUKPA dengan membawa rekod bersih menang kesemua enam perlawanan, termasuk masih segar dengan kemenangan bergaya ke atas juara bertahan JDT pada Ahad lalu.

Manakala Pahang Rangers yang menghimpit rapat dengan 16 mata hanya sekali tercicir mata ketika seri menentang JDT. Skuad Eloy Alonso pastinya mahu memanfaatkan kelebihan bermain di hadapan ribuan penyokong sendiri untuk menyekat Selangor daripada melebarkan kelebihan.

Di atas kertas, sememangnya Selangor tampak lebih gah. Kali terakhir mereka bertemu dalam aksi final Malaysia Futsal Cup musim lalu, Red Giants tampil dominan untuk mencatat kemenangan luar jangka 13-3. Sebelum itu, skuad Edgar Baldasso menang 7-2 dalam aksi MPFL di Shah Alam.

Namun, rekod setiap kali bertembung di SUKPA, lebih memihak kepada Pahang Rangers. Musim lalu skuad Tok Gajah melakar kemenangan dramatik 6-5 menerusi dua jaringan minit akhir Razin Rahim dan Ahmad Harith Naim dalam aksi yang berlangsung panas dan tegang.

Pemain utama kedua-dua pasukan juga sedang benar-benar memuncak dengan Pahang Rangers terus menyandarkan kepada gandingan sensasi Felipe de Souza dan Rodrigo da Silva dibantu Sirhan Aiman untuk merobek Selangor. Manakala Selangor pula mempertaruhkan magis Marlon Olivieira, Evandro Borges dan Syahir Iqbal Khan.

Jika Selangor menang, mereka akan terus unggul mendominasi kedudukan teratas, namun jika Pahang Rangers yang menang, kedudukan pendahulu akan bertukar tangan buat pertama kali musim ini. Justeru, ia pastinya perlawanan yang peminat futsal tidak mahu terlepas minggu ini.

Tiket perlawanan bagi kesemua aksi Sirkit 4 boleh didapati di Tickethotline.com dan akan dijual sehingga hari perlawanan tertakluk kepada ketersediaan tiket.

Jadual perlawanan Sirkit 4:
Sabtu, 20 Jun 2026:

Wipers lwn Terengganu (10 pagi)
KL City lwn USM FC (1.30 tgh hari)
ATM lwn PFA Odin Sarawak (5 petang)
Pahang Rangers lwn Selangor (8.30 malam)

Ahad, 21 Jun 2026

USM FC lwn Wipers (10 pagi)
Terengganu lwn KL City (1.30 tgh hari)
ATM lwn JDT (5 petang)
Pahang Rangers lwn PFA Odin Sarawak (8.30 malam)

RELATED ARTICLES

Most Popular