Pasukan manakah akan dapat menoktahkan dominasi Selangor? Sehingga sekarang belum ada pasukan dapat menyaingi keunggulan skuad merah kuning yang begitu solid dalam saingan Malaysian Premier Futsal League (MPFL) termasuklah juara bertahan Johor Darul Takzim (JDT).
Skuad bimbingan Edgar Baldasso itu ketika ini menerajui liga dengan 39 mata, setelah mencatat rekod sempurna menang kesemua 13 perlawanan yang diharungi. Terbaru dalam aksi Sirkit 7 di SUKPA Kuantan, mereka membaham Terengganu tanpa belas kasihan 11-3 disusuli kemenangan 5-0 ke atas ATM.
Saban minggu mereka berpesta gol dan secara total telah menjaringkan 105 gol (purata 8 gol satu perlawanan) dan bolos hanya 19 gol. Bintang import dari Brazil, Marlon Oliviera cemerlang meledak 28 gol manakala tonggak skuad kebangsaan Syahir Iqbal Khan pula menyumbang 16 gol setakat ini.
JDT yang merupakan juara sejak dua edisi lepas (2024 dan 2025) mengekori di tangga kedua dengan beza lapan mata di belakang, namun beraksi kurang satu perlawanan. Skuad Harimau Selatan yang tewas kepada Selangor di Shah Alam pada bulan Jun lepas, tidak mencicirkan sebarang mata selepas itu dan kekal dalam persaingan dua teratas setelah melakar kemenangan cukup penting 5-4 ke atas Pahang Rangers juga pada aksi Sirkit 7.
Apa sekalipun andai Selangor menang kesemua 16 perlawanan liga sekalipun, mereka masih belum boleh bergelar juara. Ini kerana tidak seperti tahun sebelumnya, pertandingan liga kali ini membabitkan peringkat kalah mati.
Dua pasukan teratas akan mara ke separuh akhir, manakala pasukan tangga ketiga hingga tangga keenam akan berentap dalam aksi play-off untuk memburu dua lagi slot separuh akhir.
Dengan hanya tiga lagi perlawanan berbaki, bolehlah dirumuskan bahawa Selangor dan JDT sudahpun mengesahkan tempat di separuh akhir. Manakala Pahang Rangers pula sudah mengenggam erat kedudukan ketiga. Tempat keempat hingga keenam menjadi rebutan antara KL City, Terengganu, ATM, PFA Sarawak dan USM FC.
Justeru itu, meskipun Selangor kelihatan ‘untouchable’ ketika ini, peluang untuk JDT mempertahankan kejuaraan buat tahun ketiga berturut-turut masih terbuka, malah Pahang Rangers juga tetap berpeluang untuk mencipta kejutan merampas semula trofi yang mereka menangi pada 2023.



