HomeSukanPiala ASEAN: Asnawi Berang Tak Diberikan Penalti

Piala ASEAN: Asnawi Berang Tak Diberikan Penalti

Kekecewaan menyelubungi kem Indonesia susulan kegagalan menewaskan Laos dalam aksi kedua Piala ASEAN Mitsubishi Electric pada Khamis.

Aksi berbalas jaringan antara kedua-dua pasukan berkesudahan dengan keputusan 3-3 di Surakarta, meskipun Indonesia turun sebagai pilihan untuk memenangi perlawanan.

Separuh masa pertama menyaksikan Indonesia terpaksa bangkit dua kali daripada ketinggalan, untuk mengikat kedudukan menerusi Kadek Arel dan Muhammad Ferrari.

Anak buah Shin Tae Yong kemudian mendahului pada minit ke-72 namun Laos mencuri satu mata menerusi jaringan Peter Phantavong lima minit kemudian.

Perlawanan tersebut turut menyaksikan, bintang sang garuda, Asnawi Mangkualam berang dan tidak berpuas hati dengan keputusan pengadil yang tidak memberikan sepakan penalti selepas dia dijatuhkan pemain Laos.

Penyokong bagaimanapun berpendapat pengadil telah membuat keputusan tepat.

“Dia yang langgar pemain Laos, jatuh sendiri, minta penalti. Tahniah kepada pengadil yang tidak terpedaya,” antara komen penyokong di media sosial.

“Macam mana dia boleh minta penalti sedangkan dia yang terang-terang gi langgar pemain Laos. Pemain Laos tu tak berganjak pun,” kata seorang lagi penyokong.

Sementara itu, Shin Tae Yong meminta maaf kepada penyokong atas kegagalan memenangi perlawanan dan mengakui pasukannya melakukan beberapa kesilapan mudah.

Dia juga menyifatkan pemain tonggak Marselino Ferdinan tampil dengan permainan terburuknya dalam aksi ini. Selain tidak menyerlah sepertimana diharapkan, pemain Oxford United itu dilayangkan kad merah pada minit ke-69.

Tamat dua perlawanan, Indonesia kekal memimpin Kumpulan B dengan 4 mata. Selepas ini mereka akan menentang Vietnam di gelanggang lawan pada Ahad (15 Disember).

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!