HomeSukan"Saya Bermain Demi Keluarga Yang Menderita Akibat Perang"

“Saya Bermain Demi Keluarga Yang Menderita Akibat Perang”

Pemain tengah Kelantan United, Oday Kharoub bakal menamatkan kontraknya dengan kelab itu dalam jangka masa terdekat.

Pemain dari Palestin itu meluahkan rasa kecewanya dengan Kelantan United, yang sehingga kini berdiam diri mengenai masalah tunggakan gaji difahamkan lebih empat bulan.

“Tiada rasa hormat (kepada pemain), tidak jawab panggilan, tiada padang untuk berlatih kerana mereka tidak membayar sewa padang latihan.

“Saya mendapat beberapa tawaran dari Thailand, Indonesia dan Qatar. Saya akan tamatkan kontrak. Saya bermain untuk menghantar duit kepada keluarga yang menderita akibat perang,” menurut pemain berusia 31 tahun itu.

Oday disifatkan penyokong sebagai tonggak penting Kelantan United musim ini. Dia yang diperkenalkan sebagai wajah baru sang kijang hijau pada bulan Mac lalu turut berperanan sebagai kapten pasukan.

Pemain itu masih merupakan pemain kebangsaan Palestin dan pada Januari lalu membantu negaranya layak ke pusingan kedua Piala Asia di Qatar.

Sebelum menyertai Kelantan United, Oday tidak pernah bermain di luar Palestin dengan kelab terakhir diwakilinya adalah kelab Liga Premier Palestin, Hilal Al-Quds.

Baca Juga: Tunggakan Gaji Bunuh Semangat Pemain

Kelantan United pada musim ini tampil dengan prestasi yang cukup buruk, apabila menang hanya dua dan tewas 18 kali daripada 21 perlawanan yang diharungi.

Punca kepada prestasi buruk dan memalukan ini, tidak lain, masalah tunggakan gaji. Perkara ini dilaporkan oleh media tempatan, yang menyebut bahawa kelab ini tidak membayar gaji sudah hampir empat bulan.

“Dah masuk empat bulan gaji tak dapat. Dari September, Oktober, November dan sudah masuk Disember pun masih tak dapat gaji lagi. KWSP tidak bayar langsung, Perkeso tidak bayar langsung, insurans pemain tiada, tolonglah kami abang,” rintihan seorang pemain pasukan itu sepertimana dilaporkan Arena Metro beberapa hari lepas.

Ironinya ia bukan kali pertama KDN FC dikatakan terpalit dengan masalah tunggakan gaji.

November lalu, kelab itu viral apabila dikatakan tidak membayar gaji kakitangan sokongan mereka selama tujuh bulan.

Manakala pada penghujung Oktober, ejen dari Korea Selatan, Myeongho Jeong hilang sabar dengan KDNFC berikutan kegagalan mereka menyelesaikan tunggakan gaji dan memperbaharui visa pemain import di bawah seliaannya yang sudah tamat tempoh hampir enam bulan.

Dalam perkongsian Myeongho, dia menyatakan KDNFC juga cuba mengelak dan memberi janji palsu setiap kali diajukan soalan mengenai gaji dan visa, dan meminta Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) campur tangan untuk menyelesaikan kemelut tersebut.

“Pemilik kelab sentiasa cuba mengelak, tak pernah jawab panggilan telefon, sentiasa menipu kakitangan kelab, adakah ini standard kelab Liga Super Malaysia? Saya, jurulatih dan pemain-pemain saya bawa dari Korea, bukan sahaja ditipu, tetapi dipergunakan kelab.

“Kami semua sangat geram ketika ini. Pasukan sampah seperti ini sentiasa ada dalam Liga Super Malaysia. Banyak yang saya belajar dalam tempoh 3 tahun kenapa bolasepak Malaysia tidak pernah maju.

“Ini adalah kelab penuh penipuan, pembohongan dan mempersenda pemain. Sesungguhnya tiada seorang pun pemain atau kakitangan gembira di dalam kelab ini. Tolonglah FAM, tolong dengar luahan kami. Sekarang ini, nak balik ke Korea pun tak dapat,” ujar Myeongho ketika itu.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!