Masalah terbesar dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bukanlah isu kakitangan, perkeranian, mahupun kewangan — sebaliknya ia adalah budaya kerja badan induk tersebut.
Perkara ini dinyatakan oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) setelah hampir sebulan meneliti struktur dalaman FAM di bawah Program Penilaian Audit Kualiti.
“Jika saya boleh simpulkan dalam satu perkataan, ia adalah budaya. Budaya organisasi ini perlu berubah,” kata Timbalan Setiausaha Agung AFC, Vahid Kardany.
“Wujudnya budaya akur (conformity). Mereka cenderung untuk bekerja dengan sekadar mengikut sahaja amalan lama yang telah dipraktikkan, tiada inisiatif untuk membuat sesuatu yang baru kerana tidak ada tekanan daripada sesiapa pun. Semua orang beranggapan mereka perlu melakukan sesuatu dengan cara yang sama, takut untuk membawa pembaharuan. Mereka mengangguk sahaja tanpa banyak cakap. Budaya sedemikian tidak wujud dalam mana-mana persatuan yang berjaya.”
Kardany, yang memaklumkan bahawa juruaudit AFC telah mengenal pasti punca kepada banyak masalah struktur dalam FAM, memberi amaran bahawa reformasi yang bermakna memerlukan anjakan dalam tingkah laku organisasi yang telah lama diamalkan.
“Kami sudah tahu apa isunya. Isunya ialah budaya,” katanya. “Bagi saya, jelas sekali budaya akur ini adalah masalah utama.”
Pasukan AFC telah menjalankan semakan menyeluruh terhadap tadbir urus dan operasi FAM, merangkumi segalanya daripada statut dan proses perolehan sehinggalah kepada sistem kewangan, struktur sumber manusia, dan kerangka membuat keputusan.
Proses ini melibatkan hampir 20 pakar dan menghasilkan semakan ekstensif terhadap dokumentasi yang melibatkan hampir 100 fail operasi berasingan merentas pelbagai jabatan, termasuk kewangan, pemasaran, undang-undang, dan pentadbiran.
Kardany berkata semakan itu juga melibatkan perbincangan mendalam dengan kakitangan dan ketua jabatan FAM, yang kebanyakannya mengakui secara terbuka tentang keperluan untuk berubah.
“Kami telah meluangkan masa hampir sebulan bekerja dengan kakitangan, ketua unit, dan rakan sekerja yang lain. Mereka sangat terbuka dan jujur,” katanya.
AFC juga akan memperluaskan sesi rundingan kepada pemegang taruh lain dalam ekosistem bola sepak Malaysia, termasuk program pembangunan, pertandingan, dan struktur pasukan kebangsaan.
“Kami akan melihat kepada Program Pembangunan Bola Sepak Negara (NFDP), pasukan kebangsaan, pertandingan, dan juga melibatkan pemegang taruh lain yang terlibat dalam bola sepak,” kata Vahid.
Di sebalik penilaian kritikal tersebut, Kardany menyatakan bahawa situasi keseluruhan dalam FAM tidaklah seteruk yang disangka pada awalnya.
“Keadaannya tidaklah seburuk yang kami bayangkan sebelum ini. Namun, jika isu budaya ini diperbetulkan, maka banyak perkara lain akan bertambah baik dengan sendirinya.”



