HomeSukanArgzim Terkilan 9 Tahun Menunggu Masih Tak Dapat Kerakyatan

Argzim Terkilan 9 Tahun Menunggu Masih Tak Dapat Kerakyatan

Sembilan tahun bermain dan menetap di Malaysia, berkahwin dengan gadis tempatan dari Pahang, anak-anak sah berdarah Malaysia, fasih berbahasa melayu, tetapi semua itu tidak cukup nampaknya untuk Argzim Redzovic diberikan status warganegara.

Entah apa masalahnya, Argzim jelas terkilan kerana dia tidak tahu apa yang tidak kena dengan permohonannya untuk dinaturalisasikan walaupun pada hakikatnya sudah lebih daripada menepati kriteria untuk layak diberikan kad pengenalan Malaysia.

“Pada 2022, saya tahu Terengganu ada melakukan permohonan (naturalisasi) tetapi tiada jawapan. Sampai sekarang saya tidak tahu statusnya tetapi dokumen saya semua lengkap dan saya sudah bermain di Malaysia selama sembilan tahun sejak bersama PDRM,” katanya dengan Bahasa Melayu yang fasih kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.

Tambahnya lagi : “Saya juga sudah lapan tahun berkahwin dengan orang Malaysia, dan anak saya juga dua-dua orang Malaysia di Terengganu. Saya lihat mereka sebagai rumah utama saya tetapi sampai sekarang saya belum dapat (status naturalisasi). Saya tidak tahu apa masalahnya dan saya tidak boleh cakap apa-apa.”

Status Argzim yang kekal sebagai pemain import mula dibangkitkan penyokong susulan kontroversi tujuh pemain warisan yang dikaitkan dengan pemalsuan dokumen bagi mendapat kerakyatan Malaysia.

Ramai yang mula membandingkan situasi Argzim dan tujuh pemain terbabit yang begitu mudah dan cepat mendapat kad pengenalan daripada kerajaan walaupun tiada sebarang kaitan dengan Malaysia dapat dibuktikan. Mereka juga tidak reti berbahasa melayu sebaliknya mendapat kewarganeraaan menerusi budi bicara menteri.

Malah, lebih memburukkan keadaan, Malaysia Football League (MFL) turut mengesahkan empat daripada pemain itu iaitu Jon Irazabal, Joao Figueireido, Hector Hevel dan Gabriel Palmero – boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan kerana memiliki kad pengenalan yang sah.

Dalam satu kenyataan MFL menjelaskan manual liga menetapkan pemain boleh didaftarkan sebagai pemain tempatan dengan memuat naik salinan kad pengenalan atau pasport sah melalui sistem FIFA Connect.

Sehubungan itu, empat pemain terbabit telah melengkapkan proses pendaftaran menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan oleh Jabatan Pendaftaran Negara (JPN). Justeru MFL menegaskan tiada pelanggaran peraturan dilakukan oleh kelab terbabit dalam pendaftaran pemain berkenaan bagi musim 2025-26.

RELATED ARTICLES

Most Popular