HomeSukanArsenal 'The Invincibles' : Kisah Epik Dikenang Sepanjang Zaman

Arsenal ‘The Invincibles’ : Kisah Epik Dikenang Sepanjang Zaman

Bagi penyokong Arsenal, musim 2003/04 bukan sekadar musim bola sepak – ia adalah kisah epik yang dikenang sepanjang zaman. Ia merupakan kali terakhir kelab London Utara itu menjulang kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Di bawah bimbingan Arsène Wenger, The Gunners mencipta sejarah yang tidak pernah terfikirkan – menamatkan kempen Liga Perdana Inggeris tanpa sebarang kekalahan. dan meraih gelaran The Invincibles.

Dengan gaya permainan menyerang yang memukau, kombinasi bakat individu dan kekuatan kolektif menjadikan Arsenal sebagai pasukan yang digeruni.

Pertahanan diterajui Sol Campbell dan Kolo Touré, jentera tengah yang dikemudi Patrick Vieira dan Gilberto Silva, kreativiti tanpa batas dari Robert Pires dan Dennis Bergkamp, serta kelincahan dan ketajaman Thierry Henry di hadapan – semuanya berfungsi ibarat orkestra yang menyatu di bawah konduktor bernama Wenger.

Musim itu juga menyaksikan detik-detik dramatik yang kekal dalam ingatan: pergelutan tegang di Old Trafford yang berakhir dengan kegagalan penalti Van Nistelrooy, jaringan solo Henry menentang Liverpool, dan saat manis bergelar juara di White Hart Lane. Tiada satu pun kekalahan, dan setiap mata dikutip menjadi bukti mentaliti juara sejati.

Ia bukan musim yang mudah, penuh drama, penuh emosi — dari kad merah, penalti kontroversi, kecederaan pemain utama, gol-gol minit akhir hingga ke tekanan media dan saingan sengit daripada Manchester United dan Chelsea. Namun mereka kekal utuh. Satu demi satu halangan diratah dengan penuh gaya.

“The Invincibles” bukan sekadar gelaran, ia adalah warisan. Musim itu telah menobatkan Arsenal dalam sejarah bola sepak dunia sebagai simbol keteguhan, keindahan dan kesempurnaan.

Bagaimana mereka melakukannya?

Matchday 1: Arsenal 2-1 Everton
Musim bermula dengan ujian getir apabila Sol Campbell dibuang padang seawal minit ke-25. Namun jaringan penalti Henry dan rembatan cantik Pires mengesahkan kemenangan dalam aksi pembuka tirai.

Matchday 2: Middlesbrough 0-4 Arsenal
Dua gol Sylvain Wiltord serta satu gol masing-masing daripada Henry dan Gilberto mengesahkan pesta gol dalam aksi dominan di Riverside.

Matchday 3: Arsenal 2-0 Aston Villa
Campbell kembali ke dalam line up dan membuka jaringan pada minit ke-57, sebelum jaringan lewat Henry cukup untuk mengesahkan tiga mata.

Matchday 4: Manchester City 1-2 Arsenal
Ketinggalan awal menerusi gol sendiri Lauren, sebelum bangkit menerusi gol Wiltord dan Ljungberg di separuh masa kedua. Bukti awal mentaliti juara.

Matchday 5: Arsenal 1-1 Portsmouth
Rekod empat kemenangan berturut-turut dicalar pendatang baru di Highbury. Penalti Henry menyelamatkan satu mata selepas Pompey mendahului menerusi Teddy Sheringham.

Matchday 6: Manchester United 0-0 Arsenal
Perlawanan penuh tegang di Old Trafford. United gagal menewaskan Arsenal yang bermain 10 orang setelah Patrick Vieira dibuang padang, dengan Ruud Van Nistelrooy terlepas penalti minit akhir – kegagalan yang disambut dengan sorakan di kem Arsenal dan mencetus kekecohan.

Matchday 7: Arsenal 3-2 Newcastle United
Kedua-dua pasukan saling berbalas jaringan dengan gol kemenangan buat tuan rumah hadir menerusi penalti Henry pada minit ke-80.

Matchday 8: Liverpool 1-2 Arsenal
Ketinggalan menerusi jaringan Harry Kewell, the gunners bangkit mencatat kemenangan di Anfield menerusi jaringan sendiri Samy Hyypia dan gol solo Pires.

Matchday 9: Arsenal 2-1 Chelsea
Jaringan awal Edu dan Henry ketika perlawanan berbaki 15 minit memastikan Arsenal memenangi derby London dan mengukuhkan cengkaman di tangga teratas.

Matchday 10: Charlton 1-1 Arsenal
Jaringan penyamaan Henry memastikan satu mata dibawa pulang dari aksi sukar di The Valley.

Matchday 11: Leeds United 1-4 Arsenal
Dua jaringan Henry serta satu masing-masing daripada Gilberto dan Pires memastikan kemenangan penuh bergaya di gelanggang lawan.

Matchday 12: Arsenal 2-1 Tottenham Hotspurs
Ketinggalan kepada jaringan seawal minit kelima Darren Anderton, namun Arsenal bangkit di separuh masa kedua menerusi jaringan Pires dan Ljungberg.

Matchday 13: Birmingham 0-3 Arsenal
Jaringan Ljungberg, Bergkamp dan Pires memastikan kemenangan ke-10 buat skuad Wenger dan kelebihan satu mata di tangga teratas mengatasi Chelsea.

Matchday 14: Arsenal 0-0 Fulham
Terlepas peluang mengukuhkan cengkaman di puncak setelah diikat Fulham di laman sendiri, tatkala Chelsea mengambil alih kedudukan teratas dengan menewaskan Manchester United.

Matchday 15: Leicester 1-1 Arsenal
Sekali lagi mencicirkan mata setelah jaringan Gilberto dipadam Craig Hignett di masa kecederaan. Menamatkan aksi dengan 10 pemain berikutan Ashley Cole dilayangkan kad merah. Bagaimanapun Chelsea turut mencicirkan mata setelah diikat Leeds United.

Matchday 16: Arsenal 1-0 Blackburn
Kembali ke landasan kemenangan menerusi jaringan tunggal Bergkamp dan mengambil alih semula kedudukan teratas setelah Chelsea tewas mengejut di tangan Bolton Wanderers di laman sendiri. Manchester United melonjak ke tangga kedua.

Matchday 17: Bolton 1-1 Arsenal
Keputusan seri ketiga dalam empat perlawanan setelah jaringan Pires dipadam Henrik Pedersen. Ketika ini terikat 39 mata dengan Chelsea yang menewaskan Fulham. Manchester United melonjak ke tangga teratas dengan 40 mata.

Matchday 18: Arsenal 3-0 Wolves
Henry menamatkan kemarau jaringan dalam tujuh perlawanan dengan menjaringkan dua gol untuk kemenangan mutlak seterusnya mengukuhkan kedudukan Arsenal di tangga kedua.

Matchday 19: Southampton 0-1 Arsenal
Jaringan tunggal Pires memastikan Arsenal mengakhiri pusingan pertama dengan kemenangan seterusnya masuk ke Tahun Baru 2004 di tangga kedua, ketinggalan satu mata di belakang United.

Matchday 20: Everton 1-1 Arsenal
Perlawanan pertama di tahun baru, berkongsi mata di Goodison Park. United membuka defisit di tangga teratas kepada empat mata.

Matchday 21: Arsenal 4-1 Middlesbrough
Permulaan kepada rentetan sembilan kemenangan berturut-turut. Jaringan Henry, Pires dan Ljungberg mengesahkan kemenangan dalam perlawanan ini.

Matchday 22: Aston Villa 0-2 Arsenal
Henry terus mengganas dengan meledak dua gol di Villa Park, membantu Arsenal kembali merampas kedudukan pertama setelah United tumbang kepada Wolves. Bermula dari sini kedudukan Arsenal di tangga teratas tidak pernah terusik sehinggalah ke hujung musim.

Matchday 23: Arsenal 2-1 Manchester City
Tiga mata menerusi jaringan sendiri Michael Tarnat dan Henry.

Matchday 24: Wolves 1-3 Arsenal
Bergkamp, Henry dan Kolo Toure meledak untuk terus unggul di tangga teratas dengan United terus cuba untuk mengejar. Pada ketika ini, Arsenal mengumpul 58 mata manakala United pula 56 mata.

Matchday 25: Arsenal 2-0 Southampton
Henry terus menjadi wira, menjaringkan dua gol untuk Arsenal menerajui liga kelebihan lima mata setelah United tumbang lagi, kali ini di tangan Middlesbrough.

Matchday 26: Chelsea 1-2 Arsenal
Tersentak dengan jaringan minit pertama Eidur Gudjohnsen, namun segera bangkit menerusi Patrick Vieira dan Edu. Kemenangan penting dalam aksi derby London ini menyaksikan bermakna Arsenal kini tujuh mata mengatasi United dan sembilan mata mengatasi Chelsea.

Matchday 27: Arsenal 2-1 Charlton Athletic
Dua gol dalam empat minit pertama menerusi Pires dan Henry sudah memadai untuk Arsenal melakar kemenangan ke-20.

Matchday 28: Blackburn 0-2 Arsenal
Jaringan Henry dan Pires di babak kedua mengesahkan tiga mata di Ewood Park. Bermakna the gunners menuju ke 10 perlawanan terakhir dengan kelebihan sembilan mata mengatasi Chelsea dan 12 mata mengatasi United yang semakin hilang arah.

Matchday 29: Arsenal 2-1 Bolton
Jaringan separuh masa pertama Pires dan Bergkamp memastikan satu lagi kemenangan di laman sendiri.

Matchday 30: Arsenal 1-1 Manchester United
Henry meledak di awal separuh masa kedua namun jaringan Louis Saha pada minit akhir memadam hasrat Wenger melakar kemenangan kesepuluh berturut-turut. Keputusan ini mengekalkan United 12 mata di belakang, dengan Chelsea pula semakin mencengkam tempat kedua.

Matchday 31: Arsenal 4-2 Liverpool
It’s Henry show! Hatrik sensasi Henry membenam The Reds yang dua kali mendahului di Highbury menerusi Sami Hyypia dan Michael Owen. Terserlah kredibiliti sang juara, sebelah tangan sudah pun mengangkat trofi.

Matchday 32: Newcastle 0-0 Arsenal
Terlepas peluang untuk melebarkan defisit mata, namun kekalahan Chelsea kepada Aston Villa menyaksikan 10 mata menjadi pemisah antara no.1 dan no.2.

Matchday 33: Arsenal 5-0 Leeds United
Another Henry masterclass! Henry meledak empat gol dalam aksi didominasi penuh. Dengan Chelsea sekali lagi seri, United pula kecundang kepada Portsmouth, ini bermakna Arsenal boleh mengesahkan kejuaraan seawal perlawanan seterusnya.

Matchday 34: Spurs 2-2 Arsenal
Dengan Chelsea dan United kedua-duanya tewas dalam perlawanan yang berlangsung lebih awal. Ini bermakna, Arsenal hanya perlu seri menentang Spurs untuk mengesahkan kejuaraan.

Ia perlawanan yang gila, melepaskan kelebihan dua gol untuk diikat menerusi jaringan penalti lewat permainan Robbie Keane. Namun, ia tidak menghalang para pemain Arsenal untuk meraikan kejayaan bergelar juara apabila wisel penamat ditiup, lebih manis di gelanggang musuh ketat.

Matchday 35: Arsenal 0-0 Birmingham
Dengan kejuaraan sudah disahkan, misi seterusnya the gunners adalah menamatkan baki empat perlawanan tanpa tewas. Beraksi tanpa tekanan, kedua-dua pasukan berpuas hati dengan satu mata.

Matchday 36: Portsmouth 1-1 Arsenal
Pendekatan berhati-hati diambil Wenger demi memastikan rekod tanpa kalah tidak terusik. Satu lagi perlawanan tanpa tekanan, jaringan Jose Reyes memadam gol separuh masa pertama Yakubu untuk satu mata dibawa pulang.

Matchday 37: Fulham 0-1 Arsenal
Jaringan awal permainan Reyes menghadiahkan tiga mata di Loftus Road.

Matchday 38: Arsenal 2-1 Leicester
Bangkit daripada ketinggalan untuk melakar kemenangan tipis sekaligus memahat sejarah baru sebagai pasukan pertama mengakhiri musim tanpa kekalahan. Arsenal, the invincibles, rekod yang dicemburui.

Skuad penuh:
Jens Lehmann, Graham Stack, Ashley Cole, Lauren, Gael Clichy, Sol Campbell, Kolo Toure, Pascal Cygan, Martin Keown, Patrick Vieira, Edu, Gilberto Silva, Freddie Ljungberg, Robert Pires, Ray Parlour, Thierry Henry, Dennis Bergkamp, Jose Antonio Reyes, Nwankwo Kanu, Sylvain Wiltord, Jeremy Aliadiere

RELATED ARTICLES

Most Popular