Serangan demi serangan yang dihalakan kepada Dr. Johan Kamal Hamidon, disifatkan sebagai cubaan ‘character assasination’ atau langkah tersusun untuk mencalar karakter dan reputasi CEO Selangor FC itu.
Bekas pemain tengah kebangsaan era 2000-an, berkata tindakan menyerang Johan Kamal secara terbuka menunjukkan dengan jelas bahawa ada pihak yang tidak suka perbincangan meja bulat diadakan.
“Sebenarnya kalau lihat dengan mata terbuka, minda terbuka, apa keperluan untuk marah atau menyerang orang yang cakap ada idea? Dia (Johan) baru cakap ada idea, dia tidak memberikan cadangan terbuka pun, kata-kata dia disambut baik kelab lain yang sedia duduk berbincang dengan MFL. Malah MFL pun mengalu-alukan, jadi apa masalah?
“Saya tidak tahu apa idea atau langkah penyelesaian Johan, tetapi dia mahu guna platform MFL, bukan ajak sembang kedai kopi. Kenapa ada yang tak suka. Tiba-tiba Zainal serang dia, tiba-tiba import Selangor lapan tahun lepas serang dia, tiba-tiba Kevin muncul balik setelah lama menghilang semata-mata untuk serang dia, tiba-tiba Yusoff yang selalu nampak tenang, jawab soalan pun selalu playsafe serang dia.
“Saya lihat ini lebih kepada mahu merosakkan imej dan reputasi Johan. Kita boleh nampak, mereka yang lantang menghentam ni, bukan sasarkan pada cadangan yang mahu dibentangkan, tapi mereka sasarkan Johan.
“Mereka cuba timbulkan keraguan mengenai kredibiliti dia, jadi soalannya, siapa sebenarnya yang ada agenda?” ujarnya yang tidak mahu nama didedahkan atas sebab privasi kepada Otai Station.
Sebelum ini, Johan Kamal memberitahu beliau ada cadangan yang boleh dibentangkan untuk menyelesaikan masalah kewangan kelab Liga Malaysia yang semakin membimbangkan sambil menekankan adalah penting untuk satu keputusan bersama di antara MFL dan semua pihak berkepentingan segera dicapai.
Ia mendapat sokongan daripada beberapa kelab lain seperti Sabah, Terengganu, Negeri Sembilan, Penang dan Kuching manakala JDT pula menyatakan rasa berminat untuk tahu apa idea yang mahu dibentangkan.
Bagaimanapun, susulan daripada itu juga, Johan Kamal tidak putus dihentam, termasuklah oleh Zainal Abidin Hassan (bekas pemain kebangsaan dan bekas exco FAM); Alfonso de La Cruz (bekas import Selangor); Kevin Ramalingam (bekas CEO MFL) dan terbaru Dato’ Wira Yusoff Mahadi (bekas pemangku Presiden FAM).
Zainal menyatakan ianya kelakar individu yang gagal menyelesaikan masalah kelab sendiri mahu menyelesaikan masalah Liga Malaysia; Alfonso pula membidasnya sebagai talam dua muka; Kevin menyifatkan idea ini sebagai hipokrit dan mempunyai agenda lain; manakala Yusoff pula bertanya kenapa baru sekarang Johan bersuara selain menganggap ia mencari publisiti murahan dan boleh mencetuskan perpecahan.
“Masing-masing cuba wujudkan persepsi Johan ada agenda atau niat tersembunyi. Yang melucukan, Yusoff bangkitkan tentang Johan tak pernah hadiahkan trofi, kisah pula dia Selangor tak menang trofi. Apa kaitan? Kalau bercakap pasal kegagalan, Yusoff sendiri gagal di Melaka dan FAM.
“Kevin misalnya, tiga tahun tak ada berbunyi. Tak pernah berbunyi waktu isu tunggakan gaji kelab, tak pernah berbunyi waktu isu pemain warisan palsu, tak ada berbunyi pun waktu dia di MFL. Dia jadi pak turut. Apa dia lakukan untuk perbaiki kerosakan sistem dan struktur bolasepak kita sejak dari zaman FMLLP lagi.
“Sekarang dia marah sebab platform sudah lama ada tapi tak diguna, apa bezanya kalau digunakan sekarang? Dia kata semua ni hipokrit, hipokrit yang sebenar adalah dia. Dia marah orang masuk meeting sekadar untuk minum kopi, makan karipap.
“Kenapa dia tidak lantang bersuara pada waktu itu, jika dia bertindak, saya merasakan separuh daripada masalah sudah diselesaikan,” ujar bekas pemain yang pernah menganggotai skuad Sukan SEA, Piala AFF dan Sukan Asia itu.



