HomeSukan"Mentaliti Kami di Sini Adalah Mahu Menang ACLE" - Munoz

“Mentaliti Kami di Sini Adalah Mahu Menang ACLE” – Munoz

Xisco Munoz tidak dapat menyembunyikan rasa girang dan terujanya untuk membawa JDT berentap di perlawanan terbesar dalam sejarah kelab itu apabila mereka bakal berdepan Al-Ahli di suku akhir Asian Champions League Elite (ACLE).

Menentang juara bertahan dari Arab Saudi itu yang diperkuatkan pemain seperti Ivan Toney, Riyad Mahrez, Merih Demiral dan ramai lagi pemain bintang, JDT boleh dianggap sebagai pasukan kerdil, namun itu tidak menghalang Munoz dari meletak sasaran besar.

“Dalam Liga Juara-Juara, anda akan berdepan pasukan-pasukan yang kuat dengan pemain individu berkualiti, struktur permainan yang mantap serta tempo yang tinggi. Perlawanan seperti ini menuntut segala-galanya daripada anda.

“Ia ibarat sebuah perlawanan akhir, 90 minit di mana anda perlu mengawal situasi. Anda perlu membaca permainan dengan baik, mencipta peluang, dan mengurus detik-detik penting sebelum serta selepas separuh masa untuk meraih kemenangan.

“Mentaliti kami adalah untuk pergi ke sana (Jeddah) dan memenangi ACLE. Kami sedar tahap persaingan yang bakal dihadapi, tetapi kami akan memberikan 100 peratus,” kata pengendali dari Sepanyol itu.

Untuk makluman, bermula peringkat suku akhir hingga aksi final pada 25 April, kesemua perlawanan peringkat kalah mati akan berlangsung di Jeddah.

Munoz juga menyatakan rasa bangga dengan kebangkitan JDT ke tahap elit Asia, sambil mengaitkan kejayaan itu dengan visi jangka panjang serta komitmen yang tinggi.

“Segalanya berpunca daripada semangat, konsistensi dan budaya ‘tiada alasan’. Ia tentang penambahbaikan berterusan, musim demi musim. Kebiasaannya, apabila seseorang mencapai kejayaan, mereka mula selesa. Tetapi di JDT, kami bertuah kerana kami tidak pernah selesa – kami sentiasa mahukan lebih.

“Sepuluh tahun lalu, adakah anda percaya JDT akan berada dalam kelompok lapan pasukan terbaik Liga Juara-Juara? Di sebalik semua ini adalah pengorbanan dan kerja keras. Saya baru berada di sini selama sembilan bulan, tetapi saya bangga dengan semua orang di kelab ini,” tegasnya.

RELATED ARTICLES

Most Popular