Persekutuan Bola Sepak ASEAN (AFF) mengesahkan Johor Darul Ta’zim (JDT) bebas daripada sebarang salah laku berhubung penyertaan beberapa pemain yang digantung dalam Kejohanan Kelab ASEAN Piala Shopee.
Dalam surat rasmi bertarikh 14 April, AFF memaklumkan bahawa siasatan menyeluruh mendapati tiada asas untuk mengambil tindakan terhadap JDT atau pemain-pemain terbabit — Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.
Menurut AFF, proses semakan mengambil masa disebabkan kerumitan kes, termasuk keperluan menunggu keputusan prosiding antarabangsa berkaitan bagi memastikan penilaian yang adil.
“Selepas penilaian menyeluruh terhadap maklumat, dokumen sokongan dan peraturan berkaitan, AFF mendapati tiada asas prima facie untuk meneruskan tindakan terhadap kelab atau pemain di bawah Kod Disiplin dan Etika AFF,” menurut kenyataan itu.
Dalam masa sama, AFF menegaskan bahawa tiada dokumen palsu atau dipalsukan dikemukakan oleh JDT semasa proses pendaftaran pemain bagi kejohanan tersebut.
Badan induk bola sepak Asia Tenggara itu juga mengesahkan bahawa semua pemain terlibat memiliki kewarganegaraan Malaysia ketika proses pendaftaran, dan oleh itu tidak melanggar peraturan berkaitan kuota pemain import.
Sehubungan itu, AFF memutuskan tiada tindakan lanjut akan diambil terhadap JDT, sambil menegaskan komitmen mereka untuk menjaga integriti kejohanan serta memastikan semua perkara diuruskan secara telus dan adil.
Isu ini berpunca daripada kes lebih besar tahun lalu, apabila FIFA menggantung tujuh pemain selama 12 bulan serta mengenakan denda CHF2,000 (kira-kira RM10,000) setiap seorang berhubung kes pemalsuan dokumen, manakala Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) didenda CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Hukuman tersebut dikekalkan pada 5 Mac oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS) selepas menolak rayuan yang dikemukakan oleh FAM dan para pemain.
Malaysia kemudiannya diisytihar kalah 3-0 bagi dua perlawanan kelayakan Piala Asia 2027 susulan tindakan disiplin oleh Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) kerana menurunkan pemain yang tidak layak.
Antara tujuh pemain yang digantung itu termasuk tiga pemain JDT — Joao Figueiredo, Jon Irazabal dan Hector Hevel.



