HomeSukanBergson Ledak 6 Gol, Hampir Mustahil Moraes Menang Kasut Emas

Bergson Ledak 6 Gol, Hampir Mustahil Moraes Menang Kasut Emas

Bergson da Silva hampir pasti akan memenangi Anugerah Kasut Emas penjaring terbanyak Liga Super buat kali ketiga, setelah meledak enam gol ketika JDT membelasah Kelantan The Red Warriors dengan keputusan 14-1 dalam aksi terakhir liga di Stadium Sultan Ibrahim.

Pemain dari Brazil itu, kembali diturunkan setelah tidak beraksi ketika menentang KL City, menjaringkan gol masing-masing pada minit pertama, m-11, m-36, m-42, m-53 dan m-84 sekaligus membawa jumlah keseluruhan jaringan di Liga Super musim ini kepada 27 gol.

Dia memintas penyerang Selangor, Chrigor Moraes yang sebelum itu mendahului carta penjaring dengan 23 gol. Ini bermakna Moraes kini berdepan misi mustahil perlu menjaringkan lima gol dalam aksi terakhir Selangor menentang PDRM pada 17 Mei depan untuk memenangi kasut emas musim ini.

Bergson merupakan pemenang kasut emas pada musim 2022 dan 2024/2025. Sejak tempoh sedekad yang lalu (2016), anugerah kasut emas dikuasai oleh penyerang yang menyarung jersi JDT atau Selangor kecuali pada 2019 dimenangi pemain PKNS (Kpah Sherman).

Dalam pada itu, kemenangan 14-1 dilakar JDT juga menyaksikan mereka memperbaharui rekod dengan defisit kemenangan terbesar (13 gol) dalam sejarah Liga Super, memadam rekod mereka sendiri iaitu 10-0 mengatasi DPMM pada 25 Oktober.

Malah, ia juga menyaksikan mereka kini menyamai rekod dunia milik kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas – mengharungi 108 perlawanan liga tanpa tewas. Kali terakhir JDT tewas dalam aksi liga adalah kepada Terengganu pada 24 April 2021.

Selain Bergson, turut menyumbang gol dalam kemenangan besar JDT adalah Manuel Hidalgo yang menjaringkan hatrik (m-16, 25 dan 62); Antonio Glauder (m-19), Stuart Wilkin (m-38); Yago Cesar (m-50); Syamer Kutty Abba (m-86) dan Teto Martin (m-88).

RELATED ARTICLES

Most Popular