Siapakah yang sepatutnya bertanggungjawab ke atas masalah yang menimpa pasukan Kelantan The Real Warrior (KTRW)? Ke mana menghilang Presiden dan pihak pengurusan, membiarkan pasukan terkapai-kapai dan hilang arah mengharungi kemelut dalaman dan tunggakan gaji sehingga mencatat sejarah tidak diingini dan menjadi bahan jenaka kancah bolasepak tempatan?
Anehnya, Tan Sri Annuar Musa yang dilantik sebagai Presiden KTRW pada Julai tahun lalu, secara terbuka menyatakan di media sosialnya “Sudah lama tidak menonton bola dan tidak lagi terlibat dengan mana-mana pasukan bola” selepas hadir menyaksikan perlawanan Liga A1 Semi-pro antara Kelantan Red Warrior dan Kelantan WTS.
Ditafsir secara kasar, boleh dikatakan beliau sudah ‘cuci tangan’ dengan KTRW setelah pada awal menerima tanggungjawab sebagai Presiden KTRW, iltizam utamanya adalah mengembalikan semula kegemilangan bolasepak Kelantan dan meletakkan pasukan itu di tempat yang sepatutnya dalam peta bolasepak tanah air.
“Saya diberi tawaran (menjadi Presiden kelab) dan mengambil sedikit masa untuk lebih memahami masalah sedia ada dan mengambil kira landskap senario semasa bola sepak Kelantan pada masa ini.
“Selepas mendengar taklimat berkaitan pasukan dan hasil perjumpaan pihak pengurusan, mengambil kira keperluan memulihkan semula pasukan Kelantan, saya bersetuju menerima tawaran tersebut,” ujarnya ketika itu.
Beliau juga menyatakan komitmen mahu menyelesaikan tunggakan gaji lapuk pasukan itu, malah memberi jaminan kepada pengurusan dan pemain-pemain bahawa mereka boleh berhubung dengannya sebagai seorang bapa jika ada isu tunggakan gaji berlaku.
Sebelum musim bermula, Annuar Musa menjadi individu yang cukup penting buat KTRW, apabila terlibat secara serius dalam pemilihan jurulatih, berunding dengan pemain tempatan dan pemain import, sentiasa turun memberikan motivasi kepada pemain malah merupakan individu paling sibuk memaklumkan persiapan pasukan kepada umum.
Penyokong juga pastinya tidak lupa apabila beliau diselar sebagai penipu oleh bekas bintang import sensasi yang membantu Kelantan menjulang treble pada 2021 – Mohamed Ghaddar – kerana bersikap tidak jujur, tidak professional dan banyak menabur janji palsu sekitar bulan Ogos lalu.
Baca: Ghaddar Selar Kelantan TRW, Kecewa Janji Palsu Annuar Musa
Justeru, apabila individu sepenting Annuar Musa mengatakan sudah tidak terlibat dengan mana-mana kelab, ia menjadi tanda tanya apa terjadi kepada jawatan presidennya itu, bilakah beliau melepaskan jawatan tersebut?
Malah ruangan komen dipenuhi sindiran dan kata-kata berbaur sarkastik, selain ada yang mempersoalkan niat sebenar penglibatannya bersama KTRW, dengan ada yang menyatakan beliau ‘cabut lari’ kerana tidak mahu bertanggungjawab terhadap kemelut dihadapi kelab namun tiada satupun komen disahut Annuar Musa.
Dengan Annuar Musa sudah ‘melepaskan diri’, penyokong kini mengharapkan jawapan dan penyelesaian daripada CEO kelab, Datuk Irwan Rizal Mohd Ali yang turut dikatakan sekadar membisu dan berdiam diri.
Kelibat Irwan Rizal kali terakhir disaksikan ketika hadir di perbincangan meja bulat bersama MFL di mana dia antara yang mengutarakan pelbagai cadangan yang menyentuh implikasi kewangan kelab-kelab Liga Malaysia.
Apa sekalipun solusi terhadap masalah dihadapi KTRW, penyokong bolasepak tanah air sebulat suara mendesak MFL supaya tidak lagi berlembut dan tidak memberi lesen kebangsaan kepada kelab ini yang dibebani masalah tunggakan gaji tiga musim berturut-turut.
Foto ehsan: Kelantan The Real Warrior



