HomeSukan"Liga Professional Apa Sampai Ada Keputusan 14-1?"

“Liga Professional Apa Sampai Ada Keputusan 14-1?”

JDT mungkin berbangga dengan kemenangan sensasi 14-1 ke atas Kelantan The Real Warrior yang sekaligus menjadi kemenangan terbesar dalam sejarah Liga Super pada Ahad lalu. Ia menjadi penamat sempurna buat skuar juara liga 12 kali itu yang turut menamatkan musim keempat berturut-turut tanpa sebarang kekalahan.

Tetapi melihat lebih luas, ia menunjukkan betapa teruknya standard Liga Malaysia pada hari ini, apabila JDT boleh berpesta gol hampir setiap minggu, malah melakar kemenangan dua digit lebih daripada sekali dalam semusim. Sebelum ini, rekod kemenangan terbesar Liga Super dipegang JDT yang menewaskan DPMM 10-0, juga pada musim 2025/26.

Penganalisis sukan tanah air, Datuk Dr. Pekan Ramli berpendapat, jurang yang terlalu besar antara pasukan hanya merosakkan imej dan daya saing bola sepak tempatan, dalam masa sama memberi gambaran tidak sihat terhadap kualiti liga domestik.

Bercakap kepada BH Sukan, Pekan berkata: “Kita lihat keputusan seperti ini merosakkan imej liga kita dan menjejaskan kredibiliti serta prestij Liga M. Takkan liga profesional boleh ada keputusan sampai 14-1?

“Memang keputusan seperti ini jarang berlaku tetapi saya rasa ia bukanlah standard Liga Super. Mungkin ada yang berbangga tetapi kalau dilihat dari sudut lain, janganlah sampai memalukan.

“Dua pasukan profesional bersaing tetapi keputusannya tidak mencerminkan saingan liga profesional. Adakah ini liga bola budak sekolah? Saya rasa lawan kelab amatur pun tidak ada sampai 14-1. Kita tidak mahu perkara seperti ini, memang nampak seperti antara dua darjat. Adakah kita mahu biarkan perkara ini berlarutan? Adakah kita suka standard liga kita seperti ini?,” kata Pekan.

Pekan turut menjangkakan Liga Super berisiko kehilangan daya tarikan dan kredibiliti sekiranya situasi sama terus berulang dalam jangka masa panjang.

“Ia akan merosakkan keseronokan liga itu sendiri. Kalau ia tidak diperbetulkan dan diselaraskan sehingga memberi manfaat kepada semua pihak, tidak mustahil pasukan tidak lagi berminat untuk bersaing dalam Liga Super selepas ini,” katanya.

RELATED ARTICLES

Most Popular