Walaupun meletak pelbagai sasaran dan impian tinggi menggunung terhadap skuad bolasepak kebangsaan, Peter Cklamovski mengakui dia masih diselubungi ketidakpastian.
Kontraknya bakal berakhir pada hujung tahun ini tetapi spekulasi mengenai masa depannya tanpa henti diperkatakan sejak kebelakangan ini, selain tekanan dari kiri-kanan supaya dia melepaskan jawatan.
Dengan projek revolusi Harimau Malaya juga menerima tamparan hebat gara-gara skandal pemalsuan dokumen pemain warisan, Cklamovski tanpa berselindung menyatakan tiada apa yang berada di dalam tangannya.
“Bukan saya yang putuskan (masa depan), semua bergantung kepada pengurusan pasukan kebangsaan (Malaysia NT). Saya yakin pada projek jangka panjang skuad kebangsaan, saya gembira untuk terlibat. Tetapi saya tidak tahu masih akan berada di sini atau tidak.
“Ia luar kawalan, namun saya di sini atau tidak projek Harimau Malaya perlu diteruskan dan impian 2030 perlu direalisasikan. Itu matlamatnya,” ujar pengendali dari Australia itu yang melonjakkan Malaysia ke ranking 116 dunia pada November 2025 susulan rekod bersih tidak tewas dalam lapan perlawanan.
Begitupun dia menelan hakikat pahit apabila lima daripada keputusan itu dibatalkan dan diisytihar kalah 3-0 sehingga ranking terbaru menjunam ke kedudukan 135 dunia. Ditanya jika dia menyesal membuat keputusan menyenaraikan tujuh pemain warisan yang menjadi punca kepada segala situasi haru-biru, ini jawapan Cklamovski.
“Fakta mudah, mereka telah diluluskan bermain, bermakna mereka boleh disenaraikan dan diturunkan, jadi mengapa saya perlu mempersoalkannya? Bukan urusan saya untuk selidik macam mana mereka layak, saya tak perlu masuk campur.
“Pada waktu itu, mereka tersedia, dan mereka adalah pilihan bagi saya, jadi saya memanfaatkannya. Jika mereka tak layak, saya takkan panggil, ia sangat jelas,” ujarnya.
Tujuh pemain terbabit iaitu Facundo Garces, Rodrigo Holgado, Imanol Machuca, Jon Irazabal, Hector Hevel, Joao Figueireido dan Gabriel Palmero kini sedang menjalani hukuman penggantungan 12 bulan oleh FIFA setelah rayuan di CAS ditolak.



