Ketua jurulatih skuad kebangsaan, Peter Cklamovski tidak berselindung dalam menyatakan bahawa pembangunan bolasepak Malaysia sedang rosak teruk dan tanpa sedar menuju ke satu lagi dekad yang sia-sia tanpa kemajuan.
Dalam laporan disiarkan Timesport, pengendali dari Australia itu percaya bahawa pembangunan peringkat remaja dan sistem akar umbi secara asasnya sudah retak dan tidak berfungsi.
Pandangan Cklamovski wajar diambil serius, kerana dia bukan membuat penilaian kosong – sebaliknya telah menghabiskan sedekad yang terakhir bagi membina dan membaikpulih struktur pembangunan di dua negara bolasepak terkuat Asia.
Dalam saingan Liga Jepun 2024, pasukan FC Tokyo kendaliannya menurunkan skuad paling muda dalam sejarah kelab dengan purata umur 22.7 tahun. Mereka juga berada dalam kedudukan lima terbaik Asia untuk minit permainan tertinggi diberikan kepada pemain bawah 21 tahun.
Evolusi berteraskan pemain muda itu tidak menggangu-gugat prestasi. FC Tokyo menamatkan saingan di tempat ketujuh, menjadi antara pasukan berintensiti paling tinggi di Asia, serta memecahkan rekod kehadiran penonton kelab dan liga.
Manakala ketika Cklamovski menjadi ketua jurulatih Australia B-17, beliau turut mereformasikan keseluruhan struktur pencarian bakat negara itu.
Konsep “Elite Matches” diperkenalkannya, di mana pemain terbaik dari setiap wilayah berdepan sesama sendiri secara regular – menjadi standard nasional yang masih digunapakai sehingga hari ini.
Selepas skuad B-17 Malaysia gagal layak ke Piala Asia 2026 dan skuad B-23 pula gagal di dua kejohanan utama tahun ini, Timesport bertanyakan Cklamovski di mana sebenarnya punca masalah.
“Saya cukup mengambil berat tentang isu ini. Jika kita melihat rekod sebelum ini, pasukan B-23, B-20 atau B-17 — tidak pernah layak secara konsisten, atau tidak pernah layak langsung, ke Piala Asia.
“Saya rasa pembangunan belia di Malaysia ini tidak berfungsi, dan ia perlukan bantuan. Pertandingan peringkat belia terlalu lemah, strukturnya bercelaru. Ada negeri buat begini, ada negeri buat begitu.
“Liga KPM, ada 11 perlawanan sahaja — kadang dapat 10, kadang 11 setahun untuk B-13 dan B-14. Jadi, harapan apa yang kita ada?” ujar Cklamovski.
Cklamovski berkata Malaysia terlalu mengharapkan keajaiban daripada pasukan peringkat belia sedangkan salurannya sendiri rosak.
“Sebagai jurulatih pasukan kebangsaan, saya perlu dapatkan keputusan yang baik untuk pasukan senior. Tapi pada waktu sama saya bertanggungjawab terhadap masa depan bolasepak di sini. Dan di situlah ia bermasalah sekarang — ia kacau-bilau, penuh kekeliruan,” katanya.
Ditanya jika diberi kuasa penuh, apa yang akan dibinanya dahulu, Cklamovski berkata:
“Saya mahu faham mekanisme bagaimana kita boleh memperbaiki pembangunan belia. Mungkin dengan memperkukuh sistem pendidikan bolasepak dan menghubungkan dengan sekolah sukan atau program bolasepak di sekolah.
“Selepas itu, saya berharap akademi kelab dapat membangunkan sistem mereka. Bila sekolah dan kelab bergerak seiring, barulah kita boleh salurkan pemain terbaik ke AMD (Akademi Mokhtar Dahari) yang menghimpunkan hanya pemain-pemain elit.”
Cklamovski turut menekankan pentingnya ekosistem kejurulatihan yang kukuh, sesuatu yang Malaysia abaikan selama berdekad.
Beliau memberi contoh kebangkitan 30 tahun Jepun sebagai hasil komitmen jangka panjang.
“Sistem mereka kuat. Mereka ada piramid yang jelas dari peringkat kanak-kanak sampai ke profesional. Ia ambil 30 tahun — dan mereka ada rancangan 50 tahun,” katanya.
Ketika merumuskan dilema bola sepak negara, Cklamovski tidak berselindung:
“Jika sekarang pun kita masih tidak bertindak dan hanya berpaling daripada masalah ini, bola sepak kita akan terus hanyut dan tertidur. Kita sebenarnya sudah berjalan sambil tidur selama satu dekad atau lebih,” katanya.
Cadangan segera Cklamovski termasuk memperkukuh asas di sekolah dan kelab, meningkatkan pendidikan jurulatih, serta membentuk sistem pencarian bakat nasional yang lebih menyeluruh — atau Malaysia akan terus mengulang kegagalan pembangunan belia.



