Satu lagi malapetaka nampaknya menanti Selangor FC, seandainya jurulatih mereka Christopher Gamel didapati bersalah mengkritik mutu pengadilan.
Baru-baru ini kelab gergasi bolasepak tanah air itu telah dihukum FAM bermain tanpa kehadiran penyokong dan didenda RM100,000 akibat kecuaian keselamatan ketika menentang Negeri Sembilan. Mereka kini berpotensi dihukum atas satu lagi kesalahan.
Ini berikutan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) sedang meneliti kenyataan (kritikan) dibuat Gamel selepas berakhir perlawanan separuh akhir Piala FA antara Selangor dan Sabah pada minggu lalu.
Perlawananan berkesudahan dengan Selangor tewas menerusi penentuan penalti selepas kedudukan agregat terikat 5-5 di Stadium MBPJ.
“Perkara itu (kenyataan dibuat Gamel) sedang disiasat oleh unit undang-undang FAM. Sekiranya ada (kesalahan), ia akan dirujuk kepada Jawatankuasa Disiplin,” kata Pengerusi Jawatankuasa Pengadil FAM, Datuk Saaran Nadarajah kepada BH Sukan.
Gamel dilihat tidak dapat menyembunyikan rasa kecewa selepas Selangor disingkirkan Sabah, menyelar beberapa keputusan dibuat pengadil perlawanan Hasrol Amir.
Ini termasuklah kad merah yang dilayangkan kepada pemain import Mamadou Diarra pada penghujung masa sebenar perlawanan, serta gol yang dibatalkan kononnya kerana ofsaid.
“Sejujurnya, saya berasa malu melihat perlawanan seperti ini. Kami hadapinya, tiada masalah, tetapi ada ketikanya ia agak keterlaluan juga. Kad merah itu juga, kad merah yang mudah.
“Apa yang saya tidak faham adalah untuk sesetengah kesalahan, ada VAR (video bantuan pengadil), tapi untuk sesetengah yang lain, tiada (melihat) VAR. Satu hari nanti anda mendapat karma apabila anda melakukan benda seperti ini. Jadi, tak mengapa.
“Walaupun kekurangan seorang pemain, kami masih bermain dengan baik, kami menjaringkan gol yang sememangnya gol yang baik. Saya tidak nampak sebarang ofsaid dan kita ada kamera untuk (menilainya),” kata Gamel.
Bekas pengadil FIFA, Subkhiddin Mohd Salleh kemudiannya turut berkongsi penilaian beliau terhadap pengadilan Hasrol Amir, dan menyifatkan empat keputusan penting dibuatnya wajar dipertikaikan dan sememangnya mengundang kontroversi.
Beliau menegaskan kesilapan seumpama ini di pentas besar seperti aksi separuh akhir Piala FA, mencerminkan isu lebih besar berkaitan ketelusan dan konsistensi dalam pengadilan di Liga Malaysia.



