Belum ada sebarang rancangan untuk skuad Sri Pahang atau mana-mana pasukan di bawah payung Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) kembali mewarnai kancah Liga Malaysia dalam masa terdekat, sama ada Liga Super mahupun Liga A1 Semi-pro.
Menurut sumber PBNP kepada Arena Metro, laporan yang tersebar meluas mengatakan pasukan itu yang hilang terus dari radar bolasepak Malaysia bagi musim 2025/26 akan membuat ‘comeback’ dengan beraksi di Liga A1 Semi-pro hanyalah khabar angin.
“Tiada sebarang perancangan membentuk pasukan dan laporan berita yang tular Pahang FA akan menyertai Liga A1 itu lebih kepada khabar angin,” katanya.
Spekulasi Pahang kembali dimulakan oleh wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam yang baru-baru ini menyatakan: “Terengganu tarik diri, Pahang kembali. Difahamkan, kedua-dua pasukan berhasrat untuk beraksi dalam Liga A1 musim depan untuk sertai Kedah dan Perak yang dikatakan belum bersedia ke Liga Super.”
Ia lantas mendapat perhatian pelbagai pihak, khususnya penyokong skuad Tok Gajah yang gembira mendengar perkhabaran itu memandangkan hiburan di negeri Pahang seolah mati dengan penarikan diri pasukan itu dari liga domestik sejurus berakhir musim lalu.
Apatah lagi, Pahang mempunyai sejarah, reputasi dan tradisi tersendiri dalam kancah bolasepak tempatan. Aksi terakhir mereka adalah ketika tewas 1-2 kepada JDT dalam perlawanan akhir Piala Malaysia.



