Kenyataan dibuat Datuk Muhammad Yusoff Mahadi bahawa individu yang mahu merebut jawatan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) perlu mendapat restu daripada Tunku Ismail Sultan Ibrahim, bukan sahaja disifatkan sebagai kontroversi, tetapi berbahaya kepada badan induk itu sendiri.
Yusoff ibarat membuka pekung sendiri dengan kenyataan itu, mengesahkan bahawa wujudnya ‘tokong’ dalam ekosistem bolasepak tanah air bukan lagi sekadar andaian, tetapi satu realiti.
Menurut pemerhati bolasepak, Datuk Pekan Ramli: “Saya sangat terkejut apabila kenyataan seperti itu keluar daripada individu penting yang pernah duduk sebagai Pemangku Presiden dan Timbalan Presiden FAM.
“Ia jelas menunjukkan wujudnya budaya tidak sihat dalam organisasi itu. Selama ini mungkin orang luar tak nampak, tapi sekarang semuanya sudah terdedah. Orang sudah tahu apa sebenarnya yang berlaku.
“Ia seperti mengesahkan apa yang peminat cakap selama ini, ada kartel atau tokong. Ini bukan lagi bagi peluru, tapi sudah bagi peluru berpandu kepada penyokong. Keadaan jadi makin huru-hara, lebih-lebih lagi ketika isu tujuh pemain yang memalsukan dokumen sebelum ini turut mencemarkan imej bola sepak negara.”
Pekan turut menekankan bahawa mendapatkan restu orang luar yang bukan ahli gabungan FAM adalah tidak selari dengan peraturan badan bolasepak dunia, malah berpotensi mengundang perhatian FIFA.
“Dalam mana-mana statut organisasi sukan termasuk FIFA, sudah jelas tidak boleh ada campur tangan pihak luar dalam menentukan kepimpinan. Jadi bila dikatakan perlu restu, itu memang tidak betul dan bertentangan dengan peraturan.
“Selepas ini pasti FIFA akan melihat dan mungkin menyiasat kenyataan itu kerana mereka sangat tegas soal campur tangan luar. Pemegang taruh terbesar bola sepak adalah penyokong dan rakyat,” ujarnya.
Terdahulu, beberapa media tempatan melaporkan Yusoff berkata Tunku Ismail adalah calon paling tepat menerajui FAM namun jika beliau tidak mahu memegang jawatan itu, maka Presiden FAM wajar dipilih dalam kalangan individu yang mendapat kepercayaan serta sokongan daripada baginda.
“Ini penting bagi memastikan kesinambungan perancangan serta kestabilan dalam pentadbiran bola sepak negara. Sejarah membuktikan FAM pernah diterajui oleh tokoh seperti Tun Abdul Razak, Tan Sri Hamzah Abu Samah dan Tan Sri Hamidin Mohd Amin.
“Namun hakikatnya, tanpa sokongan daripada figura yang mempunyai pengaruh besar dalam ekosistem bola sepak negara, perjalanan menuju kejayaan pasti akan menjadi lebih berliku.
“Itulah realiti bola sepak moden, bukan sekadar mengenai jawatan, tetapi berkait kekuatan, jaringan dan keupayaan untuk menggerakkan seluruh sistem ke hadapan,” katanya.
Adalah diragui sama ada Yusoff sedar atau separa waras ketika membuat kenyataan kontroversi yang membuka pekung sendiri seperti ini.



