HomeNostalgiaFarizal Teruskan Bermain Walaupun Alami Gegaran Otak

Farizal Teruskan Bermain Walaupun Alami Gegaran Otak

Bekas penjaga gol kebangsaan, Farizal Marlias mengenang satu insiden ngeri yang pernah dialami pada awal perjalanan kariernya, setelah melihat apa yang berlaku kepada penyerang JDT Jairo Da Silva ketika perlawanan menentang Al-Ahli tempoh hari.

Farizal yang memulakan karier seniornya bersama Shahzan Muda yang berpangkalan di Pahang pada 2006, berkata insiden tersebut berlaku pada tahun 2008 di mana pemain lawan tersepak kepalanya.

Bagaimanapun, disebabkan kurang kesedaran akan bahayanya kejadian yang berlaku itu, dia tidak mengambil serius dan teruskan bermain sehingga tamat perlawanan. Namun, natijahnya adalah cukup berat kerana dia mengalami hilang ingatan malah sehingga kini tidak dapat mengingati dengan jelas apa yang berlaku.

“Ketika kali pertama saya kena gegaran otak, saya sambung bermain. Cuma, rakan-rakan beritahu selepas itu, saya seperti kerap bertanya soalan sama, mengenai keputusan perlawanan, sama ada kami menang atau tidak.

“Saya memang tidak ingat apa-apa selepas kejadian itu tetapi mereka katakan yang saya bermain sehingga habis dan masih boleh berborak dengan mereka selepas itu. Tetapi apabila sampai di hotel, saya mula bertanyakan soalan sama berulang-ulang,” kata Farizal yang bersara pada 2025 selepas 10 musim mewakili JDT.

Malah, itu bukan satu-satunya insiden cemas pernah dialami penjaga gol itu, di mana pada 2022 dia mengalami kecederaan di kepala selepas bertembung dengan pemain pertahanan Shane Lowry dalam usaha mengeluarkan bola ketika menentang Terengganu.

Untuk rekod, Farizal yang mula mendapat perhatian jurulatih kebangsaan ketika bersama Perlis pada 2009 dan dipanggil untuk beberapa tugasan penting, terlepas peluang untuk mengukuhkan status sebagai penjaga gol utama Harimau Malaya gara-gara kecederaan.

Ia memberi peluang kepada Sharbinee Allawee dan Khairul Fahmi Che Mat untuk mencipta nama di Piala AFF Suzuki 2010 sebelum dipanggil semula sekitar tahun 2011.

RELATED ARTICLES

Most Popular