Johor Darul Takzim (JDT) memantapkan persiapan mengharungi saingan Malaysia Premier Futsal League (MPFL) 2025 yang akan bermula 8 Mac depan dengan menyambar seorang lagi bintang futsal tanah air.
Pasukan juara berganda musim lalu itu, membawa masuk pemain lincah dari Terengganu, Alif Mat Amin, pemain yang popular dengan jolokan ‘the Messi of futsal’.
Bagi peminat futsal tanah air, Alif bukanlah nama asing, pemain berusia 27 tahun kelahiran Dungun ini menyerlah bersama negeri kelahirannya Terengganu ketika saingan MPFL 2019. apabila muncul salah seorang penjaring terbanyak pertandingan.
Prestasi cemerlangnya ketika itu yang muncul salah seorang penjaring prolifik pertandingan menyaksikannya disambar pasukan jiran pantai timur Pahang Rangers pada 2021 selama dua musim sehingga 2023.
Dia membantu Pahang Rangers untuk memenangi kejuaraan berganda MPFL dan Malaysia Futsal Cup 2023 sebelum pulang semula ke Terengganu pada musim lalu.
Kemasukan Alif Mat Amin diumumkan secara rasmi oleh JDT di laman rasmi mereka, sekaligus menjadi pemain kedua ditandatangani selepas terdahulu mendapatkan khidmat tonggak Selangor, Syed Aizad Daniel.
Berita Berkaitan: Tonggak Harimau Malaya Syed Aizad Sertai JDT
Untuk rekod, skuad kendalian Juan Antonio Miguel Garcia hanya membuat rombakan kecil pada skuad mereka, mengekalkan hampir kesemua pemain musim lalu. Mereka melepaskan pemain berpengalaman seperti Yazid Kamaruzuan dan terbaru Azwann Ismail.
Yazid telah menyertai revolusi Kedah manakala halatuju Azwann pula masih menjadi tanda tanya.
Saingan MPFL musim baru akan menyaksikan lapan pasukan berentap dalam Divisyen Satu iaitu JDT, Pahang Rangers, Selangor FC, Selangor TOT, Kedah, KL City, Malaysian University dan Sabah.
Selangor dan Pahang Rangers masih dilihat sebagai pencabar utama Harimau Selatan, Selangor yang terpaksa berpuas hati dengan pencapaian naib juara berganda musim lalu turut membuat beberapa rekrut baru antaranya membawa masuk Nazreen Saudi, Saiful Nizam Mohd Ali dan Farhan Khairul Anuar.
Manakala Pahang Rangers pula memperkuatkan pasukan dengan kehadiran Razin Rahim, Syazwan Ashraf Musa, Adam Rayyan dan import baru iaitu Matheus Moura.