Walaupun terkandas di Mekah selepas penerbangan pulangnya dibatalkan, sensasi Muay Thai negara, Johan Ghazali tetap meneruskan senaman dan latihan ringan berhampiran kota suci itu menjelang waktu sahur, bagi memastikan fizikalnya kekal berada pada tahap terbaik.
Jojo berkongsikan perkembangan itu menerusi satu hantaran di media sosial, sambil berkongsi tangkap layar emel rasmi daripada Malaysia Airlines yang mengesahkan pembatalan penerbangan mereka.
Menurut notis tersebut, tiada tarikh baharu ditetapkan setakat ini, dan penumpang dinasihatkan supaya tidak hadir ke lapangan terbang sehingga kemas kini lanjut diberikan.
Sementara menunggu kepastian mengenai perjalanan pulang, atlet ONE Championship itu memanfaatkan sepenuhnya tempoh berada lebih lama di Tanah Suci.
Video dan gambar yang dimuat naik menunjukkan Jojo berjoging di sekitar Mekah sebelum subuh serta menjalani latihan teknikal ringan bagi mengekalkan tahap kecergasan menjelang tugasan seterusnya dalam ONE Championship.
Rakaman tersebut memperlihatkan beliau melakukan sesi larian jalanan dan shadowboxing, sekali gus menonjolkan disiplin serta komitmennya untuk kekal bersedia menghadapi pertarungan walaupun berdepan ketidaktentuan berkaitan perancangannya.
Untuk makluman, atlet berusia 19 tahun yang lebih dikenali sebagai Jojo Ghazali itu berangkat ke Arab Saudi bersama keluarganya pada awal Ramadan bagi menunaikan ibadah umrah.
Mereka dijadualkan pulang ke Malaysia pada Ahad lalu, namun perjalanan tersebut tergendala susulan penutupan ruang udara di beberapa negara Asia Barat.
Sementara itu, dalam suasana lebih santai, Jojo turut menceriakan keadaan dengan mengusik ibunya. Beliau berseloroh bahawa dirinya “tidak selamat” apabila terkandas bersama ibunya, sambil berkongsi gambar bersahaja yang mencuit hati para peminat.
Buat masa ini, Jojo dan keluarganya masih berada di Arab Saudi sementara menantikan perkembangan lanjut daripada pihak penerbangan. Situasi tersebut turut mendapat perhatian peminat sukan tanah air yang berharap urusan kepulangan mereka dapat diselesaikan dalam masa terdekat.



