HomeSukan"Kita Didengki", TMJ Terus Rancak Menyerang

“Kita Didengki”, TMJ Terus Rancak Menyerang

Belajar menerima dan mengakui kegagalan sendiri daripada sibuk menuding jari menyalahkan orang lain. Itu tegas pemilik JDT, Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim mengulas mengenai kegagalan kelab lain meningkatkan kedudukan ranking ‘members association’ (MA) Malaysia.

Tunku Ismail menyatakan JDT adalah satu-satunya kelab yang menyumbang mata kepada ranking MA tatkala kelab lain hanya pandai mencipta drama di hadapan penyokong sendiri bagi menutup kegagalan mereka.

“Pergi Asia pun atas tiket JDT. Asyik main skrip yang sama setiap tahun. Kita didengki, VAR (video bantuan pengadil) salah, pengadil salah, semua salah JDT, salah FAM, tetapi diri sendiri tak pernah salah. Sedangkan diri sendiri yang gagal. Gagal dan tak boleh terima hakikat,” tulis Tunku Mahkota Ismail.

Sebelum ini baginda menyelar pengkritik sebagai hipokrit kerana tidak membincangkan tentang isu sebenar yang menyebabkan bolasepak Malaysia mati, sebaliknya sibuk memfokuskan kepada isu pengadilan teruk dan kes kontroversi pemain warisan.

Media tempatan baru-baru ini melaporkan pasukan Liga Malaysia diberikan dua slot ke pertandingan kelab Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) bagi musim 2026/27 masing-masing satu slot automatik ke ACLE dan ACL2 berdasarkan ranking terkini MA Malaysia.

Begitupun CEO JDT, Luis Garcia dalam satu kenyataan menjelaskan tidak pasti berapa lama kedudukan MA Malaysia mampu bertahan jika hanya Harimau Selatan menyumbang majoriti mata.

Bekas pemain kebangsaan Sepanyol dan Liverpool itu berpandangan bahawa slot untuk wakil negara dalam kelayakan kejohanan kelab Asia berdepan risiko jika pasukan lain dari Malaysia tidak bangkit menyumbang mata MA.

“JDT berjaya mengutip banyak mata dengan kelayakan ke pusingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE), namun malangnya mata MA akan dijumlahkan dan kemudian dibahagikan dengan jumlah pasukan dari Malaysia yang bertanding di Asia. Perkara itu mengekang kedudukan ranking MA kita.

“Kita sebenarnya berpotensi untuk mencabar Australia dan China bagi mendapatkan lebih banyak slot di Asia untuk pasukan Malaysia. Kita memerlukan penyertaan yang lebih kuat daripada wakil Malaysia dalam Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) bagi meningkatkan kedudukan MA Malaysia.

“Kami sudah menyumbang lebih 70 peratus daripada jumlah mata tetapi beberapa negara di Asia Timur sama ada semakin menghampiri atau semakin jauh meninggalkan kami kerana mereka mempunyai lebih banyak pasukan yang menyumbang mata secara konsisten.

“Singapura dan Indonesia mengutip lebih banyak mata berbanding Malaysia pada musim ini dengan adanya dua pasukan masing-masing menyumbang mata, manakala Thailand dan Australia pula semakin ke hadapan apabila pasukan mereka secara kolektif menyumbang mata dengan konsisten,” kata Garcia.

RELATED ARTICLES

Most Popular