Pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim, menggesa semua pihak berkepentingan supaya menyalurkan bukti mengenai sebarang penipuan atau salah laku dalam bolasepak Malaysia kepada pihak berkuasa, dan bukannya menyebarkan tuduhan tidak sahih di media sosial.
Gesaan itu hadir susulan satu posting oleh Youth Football Malaysia yang menyatakan bahawa cabaran utama bola sepak ketika ini bukan lagi berkaitan infrastruktur atau pembangunan, sebaliknya melibatkan salah laku sistemik.
“Isu-isu asas seperti keadaan padang, pusat latihan, pertandingan dan akademi masih mempunyai jalan penyelesaian. Isu-isu ini ada ubatnya. Yang susah hendak cari ubat ialah penipuan dokumen, penipuan pengadil, penipuan pengurusan liga dan penipuan kontrak,” menurut Youth Football Malaysia.
Tunku Ismail bagaimanapun menegaskan bahawa spekulasi tanpa bukti tidak akan membawa sebarang hasil.
Menurut baginda, tindakan berlandaskan undang-undang dengan menggunakan fakta dan bukti yang sahih adalah lebih berkesan berbanding sekadar melemparkan teori semata-mata.
“Inilah pentingnya kita menggunakan segala bukti dan fakta yang ada dan serahkan kepada agensi-agensi kerajaan yang berkuasa untuk menjalankan siasatan dan mengambil tindakan undang-undang. Bukan setakat main teori. Kumpul semua bukti yang ada beramai-ramai demi bola sepak tanah air,” titah baginda sebagai reaksi balas kepada posting tersebut.
Sejak kebelakangan ini, pelbagai kemelut dilihat menyelubungi arena bolasepak tanah air antaranya kualiti pengadilan yang tidak mencapai standard, keputusan-keputusan badan induk yang seperti menguntungkan kelab tertentu dan paling besar adalah kontroversi membabitkan pemalsuan dokumen tujuh pemain warisan.
Inilah yang dimaksudkan Youth Football Malaysia sebagai isu yang tiada ubatnya. Sebelum ini, FIFA menjatuhkan hukuman kepada tujuh pemain warisan negara selepas didapati bersalah melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA (FDC) berkaitan kesalahan pemalsuan dokumen.
FAM terlebih dahulu membuat rayuan di FIFA namun ditolak dan kemudiannya mengemukakan kes tersebut ke CAS dan sedang menunggu keputusan selepas perbicaraan selesai baru-baru ini.



