Bekas pemain kebangsaan Datuk Jamal Nasir Ismail berkata isu-isu dalam arena bolasepak tanah air yang dikritik Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim bukannya sesuatu yang baru malah sudah banyak kali dibangkitkan termasuk oleh beliau sendiri.
Tetapi ia tidak pernah mendapat perhatian disebabkan beliau ‘bukanlah sesiapa’ dan telah sekian lama diabaikan kerana rasa takut serta kepentingan diri para pemegang taruh.
“Apa yang Tunku Ismail katakan, saya sudah lama suarakan. Semua perkara ini saya telah bangkitkan sejak bertahun-tahun. Tapi siapa Jamal Nasir? Bila Tunku Ismail bersuara, semua orang akan ambil perhatian kerana baginda mempunyai pengaruh,” ujar Jamal Nasir kepada Timesport.
Tambahnya: “Semua orang ada kepentingan sendiri. Jika kita benar-benar sayangkan bola sepak, kita perlu bercakap dengan jujur, ikhlas dan berdasarkan fakta. Jangan takut kepada sesiapa.”
Tunku Ismail pada Sabtu menyelar pengkritik sebagai hipokrit kerana tidak membincangkan tentang isu sebenar yang menyebabkan bolasepak Malaysia mati, sebaliknya sibuk memfokuskan kepada isu pengadilan teruk dan kes kontroversi pemain warisan.
Antara isu tersebut termasuk hak siaran tv yang tidak dibayar kepimpinan lama badan induk, pengurusan kewangan, tunggakan gaji, kelemahan pentadbiran kelab, fasiliti yang daif, ketiadaan pusat latihan, pembangunan akar umbi serta beberapa lagi isu lain.
Menurut Jamal Nasir lagi, keengganan untuk berdepan dengan realiti yang tidak selesa telah menyebabkan bola sepak negara terus berada dalam keadaan statik selama bertahun-tahun.
Malah, cadangan yang pernah dibentangkan dalam kalangan jawatankuasa teknikal Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk memperkukuh liga pembangunan akar umbi turut diketepikan atas kekangan kewangan.
“Saya sudah duduk dalam jawatankuasa teknikal selama berdekad membincangkan keperluan liga yang lebih tersusun, tetapi tiada siapa yang mendengar kerana tiada dana. Idea itu akhirnya terkubur begitu sahaja.
“Saya hanyalah seorang yang cintakan bola sepak dan mahu melihat ia berkembang. Itu sahaja yang saya mampu lakukan… membangkitkan isu-isu yang selama ini tidak diberi perhatian.”



