HomeRencana"Lagi Orang Benci JDT, Lagi Banyak Kejayaan Allah Kurniakan"

“Lagi Orang Benci JDT, Lagi Banyak Kejayaan Allah Kurniakan”

Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim gembira dengan kejayaan terbaru kelab itu menambah satu lagi trofi ke dalam kabinet mereka.

Ini susulan kemenangan skuad JDT IV ke atas Terengganu FC IV dalam aksi final Piala Belia, sekaligus muncul juara buat julung kali.

Sambil mengucapkan tahniah atas kejayaan manis tersebut, Tengku Mahkota Johor (TMJ) itu menyatakan : “Kalau kepala betul, ekor pun betul. Dari atas sampai bawah, inilah segalanya tentang JDT.”

“11 tahun.. lagi mereka membenci, tidak terima kenyataan dan cuba memperkecilkan kehebatan kelab ini, lagi macam-macam kejayaan Allah kurniakan dalam setiap aspek.”

Baru sahaja pada 13 November lalu, skuad JDT III muncul juara Piala Presiden buat kali ketiga berturut-turut. Mereka menewaskan Selangor dengan agregat 2-1.

Dalam aksi final kedua Piala Belia pada Jumaat, skuad JDT IV mencatat kemenangan 5-3 ke atas Terengganu, dan menang dengan agregat 7-5.

Kejayaan demi kejayaan diraih JDT musim ini, sekaligus membuktikan apa yang TMJ katakan adalah benar.

Diketahui sebagai seorang yang sentiasa ‘straight-forward’ dan tidak suka cakap berlapik, TMJ sentiasa menyuarakan pandangan dan kritikan membina demi pembangunan bolasepak tanah air.

Baru-baru ini beliau menyatakan bolasepak Malaysia tidak gagal, tetapi yang gagal adalah individu tidak berkelayakan di dalam industri. Dalam masa sama, beliau meminta orang ramai tidak menuding jari menyalahkan JDT, FAM mahupun MFL pada ketika pengurusan sendiri bermasalah.

Beliau turut berkongsikan cara mudah untuk menguruskan sesebuah kelab, sepertimana dilakukannya.

Kejayaan Di Setiap Peringkat Umur

Pandangan dilontarkan beliau dipersetujui ramai, terutama penyokong-penyokong JDT yang menyatakan kejayaan Harimau Selatan di setiap peringkat umur adalah bukti nyata.

Skuad senior JDT pada Ogos lalu menjuarai Piala FA buat kali ketiga berturut-turut. Mereka dijangka akan menambah beberapa lagi koleksi trofi pada musim ini:

Liga Super: Kedudukan mereka sebagai pendahulu hampir tidak tercabar. Dengan beza mata yang terlalu jauh JDT diyakini akan muncul juara buat kali kesebelas berturut-turut.

Piala Malaysia: Laluan mereka untuk mempertahankan kejuaraan boleh disifatkan sebagai tidak berliku. Melainkan ada kejutan, skuad Hector Bidoglio tampak tidak boleh disekat daripada bergelar juara sekali lagi musim ini.

Mereka juga memberikan saingan hebat dalam kancah Asia Champions League Elite. Walaupun untuk bergelar juara boleh dikatakan tipis, namun kemampuan mereka untuk bersaing dengan kelab gergasi Asia wajar dibanggakan.

RELATED ARTICLES

Most Popular

error: Content is protected !!