“Liga Petani inilah yang menjadikan JDT sebagai pasukan nombor satu di Asia Tenggara.”
Demikian menurut Tunku Mahkota Ismail Sultan Ibrahim (TMJ), apabila disindir bahawa JDT bersaing di liga yang tidak kompetitif atau digelar ‘farmers league’ (liga petani) oleh penyokong bolasepak.
“Saya suka liga petani ini. Kelab kecil dari Johor ini adalah No.1 di Asia Tenggara, No.5 di Asia, mempunyai infrastruktur bola sepak terbaik di Asia, mempunyai akademi kelab bertauliah AFC (Konfederasi Bolasepak Asia).
“Akhir sekali, JDT diiktiraf oleh FIFA (Persekutuan Bolasepak Antarabangsa), AFC dan individu yang berjaya dalam industri bola sepak dunia. Tidaklah buruk untuk sebuah kelab dari liga petani,” kata TMJ di platform X.
Sebagai rekod, JDT yang pada musim lalu dibimbing Esteban Solari mencipta sejarah tersendiri apabila memenangi Double Quadruple Invincibles iaitu empat piala tanpa sebarang kekalahan bagi dua musim berturut-turut.
Empat piala tersebut adalah Piala Sumbangsih, Piala FA, Piala Malaysia dan Liga Super.
Malahan berdasarkan prestasi semasa, mereka berpotensi untuk menjadikannya hattrik ataupun treble quadruple invicibles pada musim ini.
Apa yang pasukan dari selatan itu sedang kecapi, adalah satu penanda aras tinggi buat bola sepak negara untuk terus berkembang.
Baca juga: “Lagi Orang Benci JDT, Lagi Banyak Kejayaan Allah Kurniakan”
Tips Mudah Uruskan Kelab Bolasepak Cara TMJ
Sebelum ini TMJ ada berkongsi tips mudah untuk menguruskan kelab bolasepak.
“Simple nak manage club, ada 10 ringgit, belanja 7 ringgit, perbaiki infrastruktur sikit. Ada target realistik. Ini tidak, semua janji menang piala nak jadi populis.
“Ada 10 ringgit, belanja 15 ringgit. Lepas tu apabila gagal bayar gaji, daripada pihak pengurusan hingga ke penyokong semua salahkan badan induk FAM, MFL dan pasukan yang juara JDT. Semua orang salah, kecuali diri sendiri”, ujar TMJ.
Selain itu beliau turut tidak bersetuju untuk mengatakan bolasepak Malaysia gagal, sebaliknya menegaskan yang gagal adalah individu di dalam industri ini berdasarkan beberapa fakta iaitu:
- JDT telah berkembang menjadi pasukan nombor 1 di Asia Tenggara dan keenam di Asia berdasarkan Opta Power Rankings.
- Malaysia juga telah layak ke Piala Asia untuk pertama kali sejak 40 tahun.
- Prestasi JDT di Asia telah menyumbang 21.54 (68.7%) daripada 31.33 mata ranking MA Malaysia sejak 2015 hingga membenarkan lebih banyak kelab-kelab Malaysia menyertai pertandingan Asia.
- JDT juga muncul satu-satunya kelab Asia Tenggara yang memenangi Piala AFC (2015).
- JDT juga antara kelab yang mempunyai fasiliti terbaik – termasuk perubatan – di Asia yang menepati kehendak bola sepak moden.
“Ini antara pencapaian hebat yang pernah dicapai oleh mana-mana pasukan dalam Malaysia atau dalam industri bola sepak tempatan,” tegas TMJ.
Tambahnya lagi, “Jadi bagaimana bola sepak Malaysia dikira gagal apabila ada satu pasukan mampu berjaya di Asia? Disebabkan gaji tertunggak, kekurangan infrastruktur bola sepak, kekurangan pembangunan akar umbi di peringkat kelab atau pengurusan yang tidak baik?
“Ini semua disebabkan adanya ramai individu yang tidak berkelayakan berada dalam industri sukan.
“Bolasepak tidak gagal, ianya adalah individu-individu dalam pasukan-pasukan yang gagal mengurus dan meningkatkan standard pasukan. Kemudian terdapat pihak yang sentiasa menyokong dan bukannya memberikan tekanan terhadap kegagalan itu.”