Kylian Mbappé menafikan dakwaan bahawa pasukan perubatan Real Madrid telah tersalah scan lutut kanannya yang tidak cedera sepertimana laporan media yang tersebar luas.
Seorang wartawan dari RMC Sport — yang kemudiannya dipetik oleh beberapa media Sepanyol — baru-baru ini melaporkan pihak Madrid gagal mengenal pasti koyakan separa ligamen pada lutut kiri Mbappé pada Disember lalu, gara-gara tersilap melakukan imbasan pada lutut kanan.
Laporan itu kemudian disusuli dengan kemas kini bulan ini selepas Mbappé ke Paris untuk mendapatkan pandangan kedua, yang menyaksikannya terpaksa berehat lebih tiga minggu.
“Laporan bahawa (Madrid) memeriksa lutut yang salah adalah tidak benar dan mengarut, saya tidak tahu mana datang berita ini,” kata Mbappé pada Khamis ketika bersama skuad kebangsaan Perancis yang sedang membuat persiapan menghadapi aksi persahabatan menentang Brazil.
“Mungkin saya ada tanggungjawab tidak langsung dalam situasi ini kerana apabila anda tidak berkongsi secara jelas tentang keadaan sebenar, ia membuka ruang kepada pelbagai tafsiran, dan semua orang akan cuba menulis sesuatu yang tidak betul.
“Namun ini adalah Real Madrid, komunikasi kami sentiasa jelas, sama ada ketika saya memulakan proses pemulihan di Madrid atau ketika berada di Paris, di mana saya ditemani doktor, ahli fisioterapi dan jurulatih kecergasan kelab yang bertaraf dunia. Jadi tiada sebarang masalah dalam hal itu.
“Kini kami berada dalam fasa penting musim ini. Pasukan bermain dengan baik tanpa saya. Ketika saya cedera, saya tidak dapat diturunkan dan ada yang beranggapan saya satu-satunya solusi, tetapi hakikatnya tidak begitu. Yang penting adalah pasukan.”
Sebagai rekod, Mbappé pertama kali mengalami kecederaan tersebut ketika menentang Celta Vigo pada 7 Disember, namun sempat beraksi dalam tiga perlawanan sebelum penghujung 2025 — menentang Deportivo Alavés, Talavera CF dan Sevilla FC — sebelum kecederaan terseliuh lutut itu disahkan.
Selepas hanya sempat beraksi beberapa minit dalam Supercopa de España, dia kembali bermain dalam beberapa perlawanan pada Januari dan Februari, sebelum Madrid memaklumkan bahawa pertemuan dengan doktor Perancis mengesahkan pendekatan “rawatan konservatif” yang dipilih adalah tepat.
“Ketika ini saya berasa baik, terutama dengan kedua-dua lutut saya, yang sangat penting bagi saya. Itu sebahagiannya hasil penjagaan rapi kelab terhadap tahap kecergasan saya.
“Saya sangat gembira berada di sini, tersedia dan berada pada tahap kecergasan terbaik. Saya bersedia untuk beraksi (menentang Brazil) dan diturunkan dalam kesebelasan utama jika diperlukan.”



