HomeSukanMolina Sedia Selongkar Lebih Dalam Sisi Gelap Bolasepak Malaysia

Molina Sedia Selongkar Lebih Dalam Sisi Gelap Bolasepak Malaysia

Nama Romain Molina tiba-tiba meledak dan menjadi cukup popular dalam kalangan penyokong bolasepak tanah air. Ini berikutan wartawan penyiasatan terkenal itu, pada Rabu mendedahkan telah menerima ugutan saman daripada Johor Darul Takzim sekiranya tidak memadam posting berkenaan skandal pemain warisan yang ditulisnya.

Dia bagaimanapun enggan tunduk kepada ugutan atau ancaman yang diberikan JDT sambil menyatakan kelab itu silap jika fikir dia akan takut dan berundur daripada terus membongkar skandal berprofil tinggi itu.

Malah tegasnya, posting yang ditulis tiada langsung mengaitkan JDT mahupun pemiliknya Tunku Ismail Sultan Ibrahim (TMJ) sebaliknya memfokuskan kepada kepincangan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM).

Jika penyiasatan awal Romain Molina tertumpu kepada pemalsuan dokumen pemain warisan dan kegagalan FAM/MFL bertindak lebih tegas, kini dia bersedia untuk pergi lebih jauh – untuk selongkar lebih dalam sisi gelap bolasepak Malaysia.

“Saya sedang menyiapkan laporan lebih panjang mengenai keadaan bolasepak Malaysia dan kemelut dihadapi mereka. Belum ada tarikh tepat bila ia akan diterbitkan, tetapi saya sedang menyiapkannya.

“Antara keutamaan saya pada tahun ini adalah menerbitkan lebih banyak laporan penyiasatan tentang bolasepak Asia. Memandangkan apa yang sedang berlaku adalah sangat-sangat tidak normal, seperti juga di Afghanistan, Laos, India, Sri Lanka dan banyak persatuan lain lagi,” ujarnya.

Dalam pendedahan sebelum ini, Romain Molina juga membangkitkan kemungkinan JDT telah melanggar peraturan melibatkan jumlah pemain import yang dibenarkan dalam perlawanan Liga Super.

“Mari kita lihat perlawanan menentang Negeri Sembilan, di mana tiga pemain tempatan telah diturunkan, bersama pemain import seperti Jairo dan Bergson dari Brazil, Park dari Korea, Sidibé dari Mali, Arribas dari Sepanyol, dan Israfilov dari Azerbaijan.

“Terdapat lebih daripada enam pemain import di atas padang (tujuh pemain utama), jadi mengapa FAM tidak membatalkan kemenangan tersebut? Hukuman ini adalah BERSKALA ANTARABANGSA, jadi Malaysia juga sepatutnya terkesan. Tiada apa lagi, melainkan kelab anda berada di atas undang-undang?” tegas Romain Molina.

RELATED ARTICLES

Most Popular